Anak ugut ibu kerana dadah dijel

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang anak tergamak melakukan ugutan jenayah menggunakan pisau terhadap ibu kandungnya kerana mahukan wang untuk membeli dadah.

Bagaimanapun, perbuatannya itu membawa padah apabila dia dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

R Mahendran, 23, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret M Barath.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap P Kalaivaini, 50, di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Surian di sini pada jam 9 malam, 18 Jun lalu.

Atas kesalahan itu, dia boleh dihukum Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan dengan alasan dia sedang mabuk ketika kejadian tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris mencadangkan tertuduh diberi hukuman berbentuk pemenjaraan kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Artikel Berkaitan:

"Mahkamah perlu mengambil kira mangsa dalam kes ini adalah ibu kandungnya sendiri, yang mana dia sepatutnya dilindungi," katanya.