X

Kindly register in order to view this article
!

Penjaja rayu dibenarkan berniaga semula

Laluan di Pasar Awam Bukit Mertajam yang menjadi tempat penjaja menjalankan perniagaan.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sekumpulan penjaja di Pasar Awam Bukit Mertajam merayu agar dibenarkan kembali berniaga semula selepas diarahkan 'bercuti' sejak awal bulan lalu oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Difahamkan, kesemua mereka diarahkan untuk menghentikan perniagaan selepas 31 peniaga positif Covid-19 sebelum keseluruhan pasar awam berkenaan ditutup sejak 31 Mei sehingga 9 Jun lalu.

Namun selepas dibuka semula, kira-kira 68 penjaja yang sebelum ini menjalankan perniagaan di tepi jalan berhampiran pasar itu tidak dibenarkan beroperasi, sekali gus menyebabkan mereka hilang mata pencarian dan menanggung kerugian.

Peniaga ayam, Noorzihad Abdullah, 56, yang menjalankan perniagaan sejak tiga dekad lalu mengalami kerugian hampir RM10,000 akibat tidak dibenarkan berniaga hampir sebulan.

Menurutnya, sebelum ini dia bersama penjaja lain akur dan mematuhi semua arahan yang diberikan oleh MBSP, namun merasakan tidak adil apabila nasib mereka tidak diberi perhatian sewajarnya.

"Disebabkan cuti panjang ini, kami hilang pendapatan, macam mana nak bayar gaji pekerja yang mengharapkan pendapatan daripada hasil perniagaan ini untuk kelangsungan hidup.

“Memang kami akui tidak mempunyai lesen tapi sudah beberapa kali kami memohon tetapi pihak MBSP hanya tampil membuat bancian tetapi tanpa tindakan lanjut dan sekarang kami jadi mangsa keadaan,"katanya ketika ditemui media di pekarangan Pasar Awam Bukit Mertajam pada Selasa.

Noorzihad berkata, wakil penjaja sudah mengadakan perbincangan bersama MBSP pada Ahad lalu namun mereka gagal memberikan satu tarikh yang membolehkan peniaga beroperasi semula.

Sementara itu, peniaga sayur, B Muniswary, 43, memberitahu dia sekeluarga bergantung penuh kepada suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori selepas hilang pendapatan hasil perniagaan yang diwarisi daripada bapanya.

Katanya, kebenaran membuka semula operasi perniagaan di tepi jalan pasar awam itu sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan keluarga kerana wang simpanannya hampir habis digunakan.

“Saya harap MBSP cepatkan proses membenarkan kami beroperasi semula kerana ini saja sumber sampingan saya untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.

Peniaga hasil laut, Jerry Ang, 42, yang menjual ikan dan udang berkata, dia berharap pihak MBSP mempertimbangkan permohonan semua peniaga di sini yang rata-ratanya sudah berniaga lebih dua dekad.

“Kebanyakan peniaga di sini meneruskan legasi orang tua masing-masing dan ini saja hasil pendapatan kami,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang berusaha supaya peniaga-peniaga tidak sah dan tanpa lesen yang berada sekitar pasar dapat ditawarkan petak niaga pada minggu hadapan dan beroperasi seperti biasa.

Menurutnya, MBSP mengambil keputusan untuk membenarkan hanya penyewa yang sah dan berlesen menjalankan perniagaan di lokasi tersebut.a

Jelasnya, keputusan itu diambil atas beberapa faktor termasuklah lokasi serta aktiviti perniagaan yang dijalankan sebelum ini tidak teratur lalu menyebabkan pasar tersebut sesak, wujud halangan serta menyukarkan kawalan.

"MBSP berusaha untuk memberi permit kepada peniaga tanpa kebenaran yang berada di sekitar Pasar Awam Bukit Mertajam.

"Borang telah diedarkan di tapak pada 16 hingga 22 Jun lalu kepada peniaga-peniaga dan sebanyak 97

permohonan telah diterima sehingga kini,"katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!