PKPD PA Desa Rejang: Kedai runcit dibenarkan beroperasi

Penduduk beratur bagi membeli barang keperluan di sebuah kedai runcit dalam kawasan PKPD di Perumahan Awam Desa Rejang Setapak, Kuala Lumpur pada Selasa.
Penduduk beratur bagi membeli barang keperluan di sebuah kedai runcit dalam kawasan PKPD di Perumahan Awam Desa Rejang Setapak, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedai runcit di Perumahan Awam Desa Rejang Setapak di sini dibenarkan beroperasi walaupun kawasan itu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia bagi memudahkan penduduk di 3,000 unit perumahan bertingkat tersebut mendapatkan barangan basah.

"Difahamkan mereka perlu membeli barang basah. Untuk itu, enam kedai bekalan barang basah akan dibuka di dalam kawasan PKPD," katanya menerusi ciapan di Twitter beliau pada Isnin.

Annuar bagaimanapun berkata, kedai runcit tersebut dijangka boleh beroperasi selepas peniaga selesai menjalani ujian saringan Covid-19.

"Ia mula beroperasi selepas semua peniaga mendapat keputusan negatif ujian saringan. Mungkin esok atau lusa," kata beliau.

Dianggarkan seramai 16,000 penduduk di 12 blok Perumahan Awam Desa Rejang mula menjalani PKPD pada 18 Jun lalu dan dijangka tamat pada 1 Julai.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk dan KRT Desa Rejang, Mohd Noor Md Tahir berkata, sebanyak dua kedai runcit di Blok G dan D mula beroperasi pada pagi Selasa.

"Ia sebagai alternatif kepada penduduk selepas pembelian dalam talian dihadkan untuk pembelian tertentu sahaja seperti lampin pakai buang, susu bayi dan tuala wanita.

Artikel Berkaitan:

"Operasi kedai runcit bagaimanapun dipantau oleh pasukan polis. Penduduk didapati mula beratur seawal 8 pagi bagi mendapatkan keperluan di kedai runcit berkenaan," katanya.