X

Kindly register in order to view this article
!

Misi HM4P: 1,000 keluarga Palestin terima bekalan makanan

Abdul Azeez (kanan) melihat bekalan makanan dan keperluan harian yang disalurkan kepada 1,000 keluarga Palestin di empat kem pelarian di Jordan. - Foto UMNO Online
A
A

PUTRAJAYA - Misi kemanusiaan Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM), Humanitarian Mission 4 Palestin (HM4P), menyalurkan bekalan makanan dan keperluan harian kepada 1,000 keluarga Palestin di empat kem pelarian di Jordan, pada Isnin.

Pengerusi BKUM, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai misi tersebut berkata, empat kem pelarian Palestin yang menerima sumbangan bekalan makanan dan keperluan harian yang mencukupi untuk tempoh sebulan bagi satu keluarga adalah di Al-Baqa'a, Al-Rusaifah, Hitthin dan Wahadad.

Beliau berkata, oleh kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, proses agihan hanya dapat dilakukan di kem Al-Baqa'a manakala bantuan selebihnya ke kem lain akan disalurkan melalui Lajnah Zakat Jordan.

"Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban pelarian Palestin termasuk ibu tunggal dan warga emas ketika berdepan kesusahan hidup akibat pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan yang dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp pada Selasa.

Kem Al-Baqa'a antara kem pelarian padat di Amman dengan populasi lebih 200,000 pelarian Palestin.

Misi HM4P selama dua minggu bermula 19 Jun lepas bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin termasuk 66 kanak-kanak.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling mengetuai lima anggota HM4P berada di Jordan sejak Sabtu lepas sebelum bertolak ke Kaherah, Mesir hari ini untuk bergabung dengan anggota misi HM4P di Mesir. Pasukan itu dijangka memasuki wilayah Gaza minggu ini tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa Mesir.

Mesir dilaporkan akan memudahkan laluan ke Gaza kepada badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia melalui sempadan Rafah hasil perbincangan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Mesir, Al-Sisi, selain usaha yang digerakkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan rakan sejawatnya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!