X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

'Masa PKP, nak dapat RM10 pun cukup susah'

Industri perkhidmatan teksi dijangka berkubur tidak lama lagi sekiranya penggiatnya tidak terus dibantu oleh pihak berwajib untuk terus bertahan terutamanya ketika berdepan PKP. Gambar kecil: Radzi
A
A

ALOR SETAR - Industri perkhidmatan teksi dijangka berkubur tidak lama lagi sekiranya penggiatnya tidak terus dibantu oleh pihak berwajib untuk terus bertahan terutamanya ketika berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Persatuan Pemilik-pemilik Kereta Sewa Shahab Perdana (Perdana), Radzi Baharom, 69 berkata, hanya lapan pemandu teksi di bawah persatuan tersebut yang masih aktif berbanding 25 pemandu sebelum pelaksanaan PKP.

Menurutnya, pelbagai cabaran ditempuhi oleh pengiat industri teksi sejak beberapa tahun lalu termasuk perlu berdepan saingan dari perkhidmatan e-hailing, komuter dan juga kereta sewa haram di sekitar Bandaraya Alor Setar.

"Saya tidak tahu sampai bila lapan orang ahli persatuan ini yang aktif ini akan bertahan dalam tempoh PKP yang belum tahu bila akan tamat. Sejak pelaksanaan PKP 3.0 bermula 1 Jun lalu sehingga hari ini, jumlah pelanggan boleh dikira.

"Industri teksi ini sudah tenat bukan sahaja kami di sini tetapi juga pemandu-pemandu di tempat-tempat lain. Kami sangat berharap agar kerajaan dapat membantu kami dengan bantuan elaun bulanan seperti dinikmati oleh golongan lain seperti nelayan," katanya ketika ditemui pemberita di Terminal Shahab Perdana, Alor Setar pada Selasa.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, enam lagi persatuan teksi di Alor Setar juga mengalami nasib sama malah terdapat juga ahli yang telah menjual teksi merka termasuk memulangkan kembali permit kerana gagal meraih pendapatan.

Katanya, rata-rata pemandu teksi yang berada di dalam persatuannya adalah warga emas melibatkan mereka yang berumur 60 sehingga 75 tahun.

"Sebelum PKP, memang mudah untuk kami mencari penumpang. Tambahan pula kami beroperasi di Terminal Shahab Perdana, memang kalau ada penumpang yang turun daripada bas akan mendapatkan khidmat teksi," jelasnya.

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Zukri Hashim, 66 yang berulang-alik dari dari Kuala Nerang mengakui tempoh pandemik Covid-19 adalah paling terkesan sejak dia memandu teksi 35 tahun lalu.

Jelasnya, dahulu, dia mampu mendapat pendapatan sekitar RM200 sehingga RM300 sehari jika melibatkan perjalanan jauh namun kini sering pulang dengan tangan kosong.

"Masa PKP ini, nak dapat RM10 pun cukup susah. Malah pekerjaan pemandu teksi hari ini sangat mencabar kerana bukan sahaja disebabkan Covid-19 malah kami juga terpaksa bersaing dengan syarikat pengangkutan e-hailing selain teksi haram.

"Pelaksanaan PKP ini banyak menjejaskan pendapatan golongan sepert kami ini malah ramai kawan-kawan saya sudah pun berhenti menjadi pemandu teksi. Jadi kami berharap masalah pemandu teksi hari ini akan mendapat perhatian pihak berwajib mahupun atau badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!