Perasuah tidak senang duduk

Individu yang terlibat dengan rasuah akan sentiasa diselubungi perasaan takut, cemas dan tidak tenang terhadap perkara yang dilakukan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Hanifah Nazira
Individu yang terlibat dengan rasuah akan sentiasa diselubungi perasaan takut, cemas dan tidak tenang terhadap perkara yang dilakukan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Hanifah Nazira
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang terlibat dengan rasuah akan sentiasa diselubungi perasaan takut, cemas dan tidak tenang terhadap perkara yang dilakukan.

Penolong Setiausaha Masjid Kariah Batu 10 Cheras, Kuala Lumpur, Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah berkata, malah individu terbabit akan sentiasa bersikap waspada dan berhati-hati dengan persekitaran kerana bimbang perbuatan jahatnya terbongkar.

Menurutnya, pepatah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah adalah sangat bertepatan dengan pelaku perbuatan buruk ini.

"Sebagai orang awam, saya rasa mereka yang terlibat dengan rasuah ini sebagai golongan yang sangat zalim.

"Zalim kerana mereka mengambil hak orang lain demi memenuhi tuntutan hawa nafsu yang tidak pernah puas.

"Situasi sedemikian meninggalkan kesan negatif terhadap masyarakat, negara dan generasi akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada masa sama, Hanifah Nazira berkata, gejala rasuah di negara ini berada pada tahap membimbangkan dan bagi mengatasi masalah itu kerajaan perlu lebih peka.

"Kerajaan perlu memperbanyakkan lagi kempen bahaya gejala rasuah dan kesannya dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya memperbanyakkan program seperti forum, diskusi, pertandingan slogan, penulisan esei dan kuiz berkaitan rasuah yang boleh menarik minat penyertaan masyarakat," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk membendung gejala rasuah ia memerlukan usaha dan kerjasama ramai pihak, barulah ia akan mendatangkan kesan yang positif.

Katanya, usaha Sinar Harian menjayakan kempen Rasuah Busters ternyata memberikan impak yang sangat positif dalam menyedarkan masyarakat tentang rasuah.