'Betulkan naratif pendidikan hanya fokus peperiksaan'

Dr Amin Senin
A
A

KUALA LUMPUR - "Kita perlu mengembalikan sistem pendidikan negara ke jalan yang betul."

Menegaskan perkara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Datuk Dr Amin Senin berkata, Kementerian Pendidikan akan memberi penekanan kepada 'naratif baharu amalan pendidikan' bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang, tetapi yang bersahsiah tinggi.

"Saya ingin mengembalikan dari naratif yang berorientasikan peperiksaan kepada naratif yang berorientasikan bukan peperiksaan, yang berorientasikan pertumbuhan, berorientasikan perkembangan," kata beliau ketika berucap pada Seminar Pendidikan Kebangsaan KGMMB 2019 di sini, pagi tadi.

Ucapan beliau menumpukan kepada "Naratif Baharu Amalan Pendidikan: Fokus dan Gerak Kerja Profesional KPPM 2019".

Amin turut mengajak semua pemegang taruh supaya berganding bagi membetulkan naratif semasa yang menekankan peperiksaan.

"Saya minta kita sama-sama mengubah kepada naratif yang baharu," katanya.

Pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada berorientasikan perkembangan menekankan kepada usaha membina watak dan membangun sahsiah, dan merapatkan jurang dan meningkatkan prestasi.

Kata beliau, itu sebabnya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada tahun lalu mengumumkan bahawa peperiksaan Tahap Satu bagi murid tahun 1 hingga 3 akan dimansuhkan mulai 2019.

Peperiksaan itu akan digantikan dengan pentaksiran yang lebih objektif.

Dalam Amanat YB Menteri Pendidikan 2019, Amin berkata, Maszlee menekankan tiga teras sistem pendidikan iaitu "yang berorientasikan nilai, menekankan kualiti dan memberi autonomi."

Seminar ini dianjurkan oleh Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB). Ia dirasmikan oleh Maszlee.