MAIS, JAIS masih bincang SOP ibadah korban di Selangor

Ahmad Shahir (tiga dari kanan) menyampaikan pek makanan kepada Timbalan Pengarah Klinikal Hospital UiTM, Profesor Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail (empat dari kiri) di Dewan Berlian UiTM Puncak Alam pada Selasa.
Ahmad Shahir (tiga dari kanan) menyampaikan pek makanan kepada Timbalan Pengarah Klinikal Hospital UiTM, Profesor Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail (empat dari kiri) di Dewan Berlian UiTM Puncak Alam pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih dalam peringkat perbincangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadah korban di negeri ini.

Setiausahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, hasil perbincangan itu nanti akan dipersembah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan baginda.

"Kita (MAIS dan JAIS) masih lagi sedang melihat dari segi SOP ibadah korban seperti yang dilaksanakan pada tahun lalu," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Berlian, Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini pada Selasa.

Tahun lalu, perlaksanaan ibadah korban di Selangor hanya boleh diadakan di kawasan masjid yang ditetapkan. Ibadah itu hanya dibenarkan di kawasan Masjid Negeri manakala hanya 38 masjid yang dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu serta masjid di zon hijau.

Bagaimanapun, aktiviti ibadah korban tidak boleh dilakukan di surau.

Mengulas mengenai program sumbangan itu, Ahmad Shahir berkata, sebanyak 800 pek makanan diagihkan di PPV berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 10 PPV, sembilan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan 10 hospital di negeri ini menerima sumbangan pek makanan MAIS bernilai RM28,350 yang disumbangkan kepada 7,300 penerima sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sumbangan pek makanan ini bertujuan meringankan beban penerima yang menghadapi kekangan mendapatkan makanan dalam tempoh PKP.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan yang diagihkan merupakan sebagai tanda sokongan dan prihatin MAIS bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengawal penularan pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu," katanya.

Program penyerahan sumbangan itu turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) iaitu Anak Syarikat MAIS.