17 PPV bergerak tumpu kawasan luar bandar, komuniti orang asli

Bas yang akan digunakan sebagai PPV bergerak di bawah KPLB. - FOTO ROSLI TALIB
Gambar kecil: Abd Latiff
Bas yang akan digunakan sebagai PPV bergerak di bawah KPLB. - FOTO ROSLI TALIB Gambar kecil: Abd Latiff
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 17 buah bas Mara Liner akan digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak kepada penduduk luar bandar khususnya bagi 206,000 orang asli di Semenanjung Malaysia.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kemudahan logistik dengan pasukan perubatan daripada Uni Klinik itu salah satu usaha membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mencapai sasaran imuniti berkelompok menjelang Disember 2021.

Menurutnya, syarikat Mara Liner mengambil masa selama seminggu untuk mengubah suai 17 buah bas yang akan memulakan operasi pertamanya di perkampungan orang asli di Sungai Siput, Perak pada Sabtu ini.

"Fasa pertama akan menumpukan kepada komuniti orang asli di bawah Agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

"Fasa kedua pula diteruskan ke komuniti di bawah agensi KPLB termasuk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Penubuhan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan lain-lain," katanya selepas meninjau persediaan PPV bergerak di Depoh Bas Mara Liner di Batu Muda di sini pada Selasa.

Dr Abd Latiff berkata, setiap bas akan beroperasi dalam tempoh 10 jam dan dijangka mampu memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada 400 penerima.

Ketua Pegawai Eksekutif Mara Liner, Zachary Ismail Zee Ismail (kiri) memberi penerangan kepada Dr Abd Latiff di Depoh Bas Mara Liner di Batu Muda, Kuala Lumpur pada Selasa. - FOTO ROSLI TALIB
Ketua Pegawai Eksekutif Mara Liner, Zachary Ismail Zee Ismail (kiri) memberi penerangan kepada Dr Abd Latiff di Depoh Bas Mara Liner di Batu Muda, Kuala Lumpur pada Selasa. - FOTO ROSLI TALIB

"Konsep PPV bergerak ini sebagai akses memudahkan orang awam menerima vaksin. Mereka yang tidak mendaftar di MySejahtera boleh datang untuk mendaftar secara manual dan boleh menerima suntikan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang sudah mendaftar di MySejahtera tetapi belum ditetapkan tarikh janji temu juga boleh menggunakan kemudahan ini.

"Kita mempunyai sasaran penerima namun jumlahnya bergantung kepada bekalan vaksin yang dibekalkan oleh KKM, " katanya.

Tambah beliau, sambutan yang dijalankan menerusi program sama sebelum ini adalah menggalakkan termasuk dalam kalangan orang asli.

Ditanya berkenaan kaedah memastikan oang asli terlibat dalam program suntikan vaksin, Dr Abd Latiff berkata, KKM mempunyai pengalaman luas untuk menarik komuniti tersebut menerima suntikan vaksin.

Jelas beliau, walaupun terdapat beberapa kekangan seperti masalah akses internet, namun seramai 624 tok batin orang asli memainkan peranan penting memberikan informasi kepada komuniti tersebut.

Dianggarkan seramai 206,000 orang asli terdapat di Semenanjung Malaysia dan daripada jumlah itu, sebanyak 58 peratus atau 61,815 borang daftar vaksin diterima daripada golongan berkenaan.