Trio recurve lelaki terkilan tak dapat tunai impian arwah Haziq

Khairul Anuar (kiri), Muhamad Zarif (atas,kanan) dan Muhammad Akmal.
Khairul Anuar (kiri), Muhamad Zarif (atas,kanan) dan Muhammad Akmal.
A
A
A

KUALA LUMPUR -- Terkilan dan kecewa.

Begitulah perasaan yang membelenggu trio memanah recurve lelaki negara.

Bukan sahaja kecewa tersingkir pada suku akhir Kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Paris, Sabtu lepas, lebih menyedihkan trio dibarisi Khairul Anuar Mohamad, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan Muhammad Akmal Nor Hasrin itu tidak berupaya menunaikan hasrat bekas rakan sepasukan mereka, Allahyarham Haziq Kamaruddin.

Allahyarham Haziq yang sebelum ini pernah mewakili negara pada Sukan Olimpik di London 2012 dan Rio 2016 memasang impian untuk membuat penampilan ketiganya pada temasya di Tokyo bulan depan, sebelum meninggal dunia pada 14 Mei lepas.

“Memang ada perasaan terkilan kerana tidak dapat tunaikan permintaan arwah Haziq,” kata Muhamad Zarif ketika dihubungi Bernama.

Impian trio negara untuk ke Tokyo terkubur selepas tumpas 6-2 kepada pasukan Ukraine yang diwakili Oleksii Hunbin, Heorhiy Ivanytskyy dan Ivan Kozhokar pada peringkat suku akhir kempen kelayakan terakhir Sukan Olimpik itu.

Muhamad Zarif yang menggantikan Allahyarham Haziq bagi kejohanan di Paris itu berkata nasib mungkin tidak menyebelahi mereka untuk layak ke Tokyo walaupun merasakan sudah menampilkan prestasi terbaik ketika aksi menentang pasukan Ukraine itu.

Pemanah berusia 22 tahun itu juga mengakui kekurangan pengalaman bersaing di peringkat tertinggi selain beraksi pada saat genting seperti di Paris membantutkan usahanya untuk membantu rakan sepasukan lain layak ke Tokyo.

Artikel Berkaitan:

Namun, beliau yang tidak pernah beraksi di pentas Olimpik, bertekad dan tidak mahu menyerah kalah sebaliknya akan cuba bangkit dan berusaha melayakkan diri ke edisi seterusnya di Paris, tiga tahun dari sekarang.

Khairul Anuar terlebih dahulu mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik menerusi acara individu selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan menjadi penampilan ketiga buat Khairul Anuar, 29, selepas edisi London 2012 dan Rio 2016, yang turut menyaksikan Muhammad Akmal membuat penampilan pertamanya pada temasya di Brazil itu.

Ketiga-tiga pemanah itu seterusnya dijadual beraksi pada Peringkat Ketiga Piala Dunia 2021 di Paris bermula hari ini hingga 27 Jun. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pemanah negara, Haziq Kamaruddin meninggal dunia