267 graduan perubatan boleh pilih penempatan mulai Selasa

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan satu notifikasi menerusi emel kepada 267 graduan perubatan pada Isnin bagi membolehkan mereka mendaftar dalam sistem e-Houseman.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, graduan perubatan yang sebelum ini menghadapi isu berhubung penangguhan penempatan latihan siswazah kini boleh membuat pemilihan penempatan pada Selasa.

“Dalam hal ini, mana-mana daripada 267 orang graduan perubatan terbabit yang belum menerima notifikasi emel, bolehlah memaklumkan segera kepada urus setia menerusi alamat emel rayuanho@moh.gov.my untuk dibantu dengan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Majlis Perubatan Malaysia (MPM) sebelum ini mengesan beberapa institusi dari dalam dan luar negara mempunyai perbezaan pada nama kelayakan atau nama institusi pada skrol ijazah asas perubatan daripada yang diwartakan dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Berdasarkan dapatan itu, MPM memutuskan untuk menangguhkan semua permohonan surat layak daftar dan Sijil Pendaftaran Sementara kepada graduan daripada institusi terbabit.

MPM dilaporkan berkata, tujuan pengesanan dan penangguhan ini dilaksanakan agar tidak berlaku isu berbangkit pada masa akan datang sekiranya pengamal perubatan ingin memohon pendaftaran dengan MPM, contohnya permohonan Pendaftaran Penuh dan Pendaftaran Pakar.

Mengulas lanjut, Adham berkata, perbezaan itu menyebabkan MPM tidak dapat mengeluarkan Sijil Pendaftaran Sementara sehingga perkara terbabit diselesaikan.

“Jumlah universiti yang terlibat adalah 36 buah yang mana isu ini telah menjejaskan sejumlah 267 orang graduan perubatan yang telah mendaftar dan melepasi tapisan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan perkembangan terkini setelah MPM merujuk kepada pandangan perundangan, Sijil Pendaftaran Sementara boleh dikeluarkan kepada graduan perubatan terlibat,” katanya.