Tiga direman kes rasuah penguat kuasa lindungi judi haram

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

TAWAU - Tiga individu termasuk dua wanita direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung isu rasuah penguat kuasa bagi melindungi kegiatan judi haram di sini.

Perintah reman bermula Isnin hingga 27 Jun itu dikeluarkan Majistret Dzul Elmy Yunus selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Semua suspek berumur antara 23 hingga 57 tahun itu ditahan 11 pagi Isnin di sebuah premis di Bandar Tawau dan disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada Isnin, media melaporkan SPRM menahan seorang lelaki berumur 42 tahun dipercayai merasuah anggota penguat kuasa di sekitar Tawau bagi melindungi kegiatan judi haram kumpulannya, dan turut ditahan dua suspek wanita masing-masing berumur 23 dan 57 tahun.

Penahanan itu dilakukan di sebuah premis di sini yang dipercayai menjalankan kegiatan judi haram sejak tahun lepas dan ketika serbuan, SPRM turut merampas wang tunai RM40,000 dan menyita empat akaun bank bernilai lebih RM300,000 disyaki hasil daripada kegiatan judi haram.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy dilaporkan berkata, beberapa tangkapan susulan berkaitan kes itu akan dilakukan tidak lama lagi. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM sita RM340,000 wang perjudian haram

Artikel Berkaitan: