X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Kerja baik pulih kabel Jambatan Pulau Pinang siap Jumaat ini

Kerja-kerja membaiki kabel voltan tinggi yang terbakar di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang dilaksanakan sepenuhnya menggunakan baj dan pengangkutan air bagi memastikan kelancaran trafik di jambatan tidak terjejas. Gambar kecil: Husaini
A
A

SHAH ALAM - Kerja membaik pulih kabel elektrik yang terbakar di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang pada 22 Februari lalu dijangka siap Jumaat ini iaitu 11 hari lebih awal daripada dijadualkan.

Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Husaini Husin berkata, komitmen pantas dan berterusan TNB dengan kerjasama Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) serta PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membolehkan kerja baik pulih berjalan lebih cepat daripada dijadualkan iaitu 6 Julai 2021 meskipun dengan keadaan laut bergelora.

“Kerja-kerja baik pulih bermula 4 Mac 2021 melibatkan penggantian tiga kabel voltan tinggi daripada Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara sepanjang kira kira 1 kilometer.

“Sepanjang tempoh pembaikan, kelancaran trafik di Jambatan Pulau Pinang tidak terganggu sama sekali kerana TNB hanya menggunakan jalan laut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Husaini berkata, TNB menggunakan bot dan baj bagi mengangkat peralatan dan alat ganti, selain melakukan kerja merentang kabel menggunakan baj sepenuhnya.

Menurutnya, kerja-kerja diteruskan sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh setelah mendapat kelulusan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak di tapak kerja.

“Keutamaan TNB ialah memulihkan kerosakan yang berlaku agar pengguna dapat menerima bekalan elektrik yang stabil berterusan dan berdaya harap, selaras dengan nilai teras kami yang mengutamakan pelanggan.

“TNB berterima kasih atas kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan Negeri Pulau Pinang, Suruhanjaya Tenaga (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), LLM, PLUS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Penang Port Sdn. Bhd.,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!