Lima feri ikonik bakal jadi restoran, muzium terapung

Lima buah feri ikonik Pulau Pinang akan diserahkan kepada syarikat yang berkelayakan mulai 1 Julai ini bagi tujuan pengubahsuaian menjadi muzium dan restoran terapung serta sebagai feri pelancongan.
Lima buah feri ikonik Pulau Pinang akan diserahkan kepada syarikat yang berkelayakan mulai 1 Julai ini bagi tujuan pengubahsuaian menjadi muzium dan restoran terapung serta sebagai feri pelancongan.
A
A
A

GEORGETOWN - Lima buah feri ikonik Pulau Pinang akan diserahkan kepada syarikat yang berkelayakan mulai 1 Julai ini bagi tujuan pengubahsuaian menjadi muzium dan restoran terapung sekali gus sebagai feri pelancongan.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, pihaknya membuka tender Permintaan Untuk Cadangan (RFP) berhubung perkara itu bermula 29 Januari hingga 18 Mac lalu.

"Banyak cadangan diterima menerusi tender RFP tersebut.

Setelah dinilai oleh beberapa jawatankuasa SPPP, Mesyuarat Lembaga Pengarah SPPP pada pertengahan bulan ini meluluskan syarikat yang berkelayakan untuk mengubahsuai dan mengendali lima buah feri ikonik.

"Syarikat-syarikat berkelayakan ini akan mengubahsuai feri ikonik tersebut kepada muzium terapung (sebuah feri), dua buah feri untuk pelancongan dan dua buah lagi sebagai restoran terapung," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, SPPP dan syarikat yang berjaya akan menandatangani kontrak untuk tempoh 10 tahun dengan opsyen disambung selama lima tahun lagi.

"Oleh kerana wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), SPPP menubuhkan satu pasukan khas untuk membantu syarikat-syarikat berkelayakan ini.

Sekiranya kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP fasa kedua, SPPP akan mengadakan majlis penyerahan feri-feri berkenaan pada 1 Julai depan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, acara penyerahan akan diadakan secara dalam talian jika PKP tidak ditamatkan.

Syarikat-syarikat yang berkelayakan diberi tempoh tiga hingga enam bulan untuk memperbaiki dan mengubahsuai feri-feri ikonik ini sebelum beroperasi," katanya.

Tambah beliau, misi utama SPPP adalah memastikan lima buah feri ikonik tersebut terus berada di perairan Pulau Pinang.

"Saya percaya feri-feri ini akan menjadi produk pelancongan yang penting dan tempat percutian menarik di Pulau Pinang.

"Ini akan mendorong sektor pelancongan Pulau Pinang dan merangsang ekonomi di negeri ini," katanya.

Pada 15 Disember tahun lalu, Teik Cheng mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari tahun ini dan feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal.

Ini bermakna, kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.

Bermula tarikh itu,perkhidmatan feri bagi penumpang, motosikal dan basikal akan diambil alih oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Malaysia Berhad.

PPSB juga akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.

Untuk sementara, perkhidmatan bagi penumpang akan menggunakan feri laju manakala untuk motosikal serta basikal menggunakan feri sedia ada.

Bermula 1 Januari tahun ini hingga Jun 2022, penggunaan feri laju dan feri sedia ada adalah langkah interim sebelum empat katamaran yang akan dijadikan teksi air dan 'vehicle transporter' digunakan.

Teik Cheng berkata, bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, SPPP akan menempatkan dua buah feri sedia ada di Tanjung City Marina.

ARTIKEL BERKAITAN: SPPP giat usaha selamatkan feri Pulau Pinang

ARTIKEL BERKAITAN:Pulau Pinang masih harap feri ikonik dikekalkan