PKP: Peniaga perlu sediakan dokumen sah kebenaran operasi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan peniaga supaya menyediakan dokumen yang sah berkaitan kebenaran beroperasi semasa pemeriksaan dijalankan oleh penguatkuasa kementerian berkenaan.

KPDNHEP dalam kenyataan berkata, tindakan terhadap peniaga dan premis yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Kedua berdasarkan daripada penerangan, pemantauan dan maklumat yang diterima.

Menurut kenyataan itu, penguatkuasa akan menilai keterangan daripada peniaga dan seterusnya membuat keputusan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Tindakan yang diambil itu berkaitan dengan Akta 342 SOP PKP berdasarkan pengumuman kerajaan mengenai penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula 1 Jun hingga 14 Jun yang telah dilanjutkan ke Fasa Kedua yang berakhir pada 28 Jun 2021.

“KPDNHEP juga ingin menjelaskan bahawa tindakan diambil berdasarkan maklumat dan penerangan yang diberikan oleh peniaga semasa operasi dijalankan dan setelah meneliti pematuhan ke atas SOP MKN dan pendaftaran di sistem CIMS 3.0,” kata kementerian itu pada Selasa.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, KPDNHEP memberi penjelasan merujuk beberapa isu yang dibangkitkan dalam media sosial dan portal berita baru-baru ini berhubung tindakan yang diambil oleh penguat kuasa kementerian terhadap peniaga-peniaga serta premis menerusi operasi yang dijalankan.

Sementara itu, KPDNHEP turut menyarankan mana-mana peniaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil supaya merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berdekatan untuk pertimbangan selanjutnya.

Kepada peniaga masih belum mendapat kelulusan untuk menjalankan operasi perniagaan, peniaga boleh menghubungi kementerian itu di talian 03-8882 5881/5905 atau e-melkan kepada roa@kpdnhep.gov.my.

Artikel Berkaitan:

“Peniaga juga boleh menghubungi Pejabat KPDNHEP di negeri mereka beroperasi untuk mendapatkan bantuan.

“KPDNHEP juga ingin menasihatkan semua peniaga supaya sentiasa merujuk kepada laman web rasmi Kementerian untuk mendapatkan maklumat terkini dan sahih melalui portal Kementerian di pautan www.kpdnhep.gov.my," kata kenyataan itu.