Suami kurung isteri, dua anak dalam rumah

Pasukan penyelamat terpaksa mengumpil pintu pagar dan grill rumah tersebut serta memotong mangga pintu rumah itu kerana lelaki berkenaan mendakwa tidak tahu tempat dia meletakkan kunci.
Pasukan penyelamat terpaksa mengumpil pintu pagar dan grill rumah tersebut serta memotong mangga pintu rumah itu kerana lelaki berkenaan mendakwa tidak tahu tempat dia meletakkan kunci.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki mengurung isteri dan dua orang anaknya dalam sebuah kediaman di Taman Nusa Intan pada Isnin dipercayai akibat menghadapi tekanan perasaan.

Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, wanita bersama dua anaknya itu diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Senawang selepas polis menerima laporan daripada jiran mereka.

"Dalam kejadian kira-kira jam 8.51 malam itu, suami mangsa yang berada dalam rumah bertindak mengunci pagar, gril dan pintu belakang rumah mereka dari dalam dipercayai selepas mengalami tekanan perasaan.

"Pasukan penyelamat cuba memujuknya supaya membuka pintu namun dia enggan memberikan kerjasama," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah Mohd Said, pasukan penyelamat terpaksa mengumpil pintu pagar dan grill rumah tersebut serta memotong mangga pintu rumah itu kerana lelaki berkenaan mendakwa tidak tahu tempat dia meletakkan kunci.

"Hasil siasatan mendapati, lelaki berkenaan mempunyai rekod masalah mental dan pihak polis menyerahkan semula lelaki itu kepada keluarganya untuk mendapatkan rawatan lanjut," kata beliau lagi.

Sementara itu, menurut Pegawai Operasi Balai Bomba Senawang, Zainurin Sarip, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 8.51 malam dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Kami menyelamatkan wanita itu dan dua anaknya yang berusia empat bulan dan setahun lebih.

Artikel Berkaitan:

"Mereka kemudian dihantar ke rumah jiran terdekat dan kami dimaklumkan kesemuanya tidak makan sejak pagi. Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.