Bursa Malaysia dibuka tinggi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan pada Isnin untuk dibuka tinggi secara menyeluruh berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah susulan sentimen pasaran yang lebih baik.

Pada 9.22 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.86 mata kepada 1,574.1 daripada 1,572.24 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks dibuka rendah 0.68 mata kepada 1,571.56.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 347 berbanding 180, manakala 315 kaunter tidak berubah, 1,361 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 707.93 juta unit bernilai RM274.2 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, aktiviti belian saham pada harga rendah dijangka meningkatkan sentimen di bursa tempatan berikutan pemulihan semalaman yang kukuh di Wall Street, selain kes harian Covid-19 yang berkurangan secara berperingkat.

“Kami percaya peserta pasaran akan memberi tumpuan kepada saham yang pulih berdasarkan kadar vaksinasi yang meningkat di Malaysia,” menurut firma broker itu dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Sementara itu, harga minyak naik hampir kepada paras AS$75 setong berikutan dolar AS yang rendah manakala harga minyak sawit mentah terus mencatatkan aliran penurunan.

Artikel Berkaitan:

Bagi sektor yang menjadi tumpuan, Malacca Securities berkata, menjejaki pergerakan meningkat di Nasdaq, pelabur dijangka terus mencari saham teknologi tempatan.

Selain itu, sektor minyak dan gas dijangka menarik minat belian berikutan harga minyak yang lebih kukuh, katanya.

Daripada saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan PChem, masing-masing menambah satu sen kepada RM8.19, RM4.19 dan RM7.96, Tenaga naik empat sen kepada RM10.04, manakala IHH susut sembilan sen kepada RM5.67.

Digi menambah lapan sen kepada RM4.40 dan Axiata naik dua sen kepada RM4.00 berikutan perjanjian urus niaga yang ditandatangani pada Isnin antara dua syarikat gergasi telekomunikasi ini untuk langkah penggabungan.

Antara saham aktif, MMAG susut setengah sen kepada 17.5 sen, Greenyield naik dua sen kepada 33.5 sen, M3TECH menambah satu sen kepada tujuh sen, manakala VSolar tidak berubah pada 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 17.29 mata kepada 11,490.05, Indeks FBMT 100 menambah 15.13 mata kepada 11,182.44, FBM ACE meningkat 61.43 mata kepada 7,620.04, Indeks FBM Emas Shariah naik 17.89 mata kepada 12,633.09 dan FBM 70 menokok 27.61 mata kepada 14,939.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 2.08 mata kepada 15,248.08, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.86 mata kepada 189.98, bagaimanapun, Indeks Perladangan susut 9.45 mata kepada 6,587.87. - Bernama