Covid-19: Kes baharu kekal bawah 5,000 dua hari berturut-turut

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes baharu Covid-19 kembali meningkat namun kekal di bawah paras 5,000 apabila sebanyak 4,743 kes direkodkan pada Selasa selepas tiga hari mencatatkan penurunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 ialah 705,762 kes.

Menurutnya, Selangor kekal merekodkan kes tertinggi harian sebanyak 1,566 diikuti Kuala Lumpur (635), Negeri Sembilan (585), Sarawak (507), Johor (239), Pulau Pinang (195), Sabah (193), Melaka (167), Kelantan (165), Kedah (142), Pahang (131) dan Labuan (104).

“Tiga negeri kekal dibawah angka 100 adalah Terengganu (37), Putrajaya (tujuh) dan Perlis (dua),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 5,557 kes sembuh daripada Covid-19 yang bersamaan dengan 90.57 peratus sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 639,181 kes.

Katanya, sebanyak 875 kes jangkitan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 445 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Sebanyak 77 kematian dicatatkan pada Selasa melibatkan 70 warganegara dan tujuh bukan warganegara. Kes kematian ini melibatkan 32 kes di Selangor, Negeri Sembilan (12), Johor (lapan), Sarawak (tujuh), Kuala Lumpur (lima) dan Melaka (empat).

“Masing-masing tiga kes di Sabah dan Labuan serta masing-masing satu kes di Pahang, Perlis dan Terengganu,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 21 kluster baharu Covid-19 telah dikenal pasti sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 2,666 kluster.

"21 kluster tersebut membabitkan 13 kluster tempat kerja, komuniti (lima), pusat tahanan (satu), pendidikan tinggi (satu) dan kumpulan berisiko tinggi (satu).

“Jumlah kluster yang telah tamat adalah 1,816 kluster manakala 850 masih lagi aktif," katanya.