X

Kindly register in order to view this article
!

Pembelian 500 ambulans: PH tuntut penjelasan Menteri Kesihatan

Jawatankuasa Kesihatan PH mempertikaikan keperluan pembelian 500 buah ambulans yang mempunyai sistem tekanan negatif, penapis HEPA dan lampu UV dalam keadaan negara semakin tenat dilanda pandemik Covid-19.
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan keperluan pembelian 500 buah ambulans yang mempunyai sistem tekanan negatif, penapis HEPA dan lampu UV dalam keadaan negara semakin tenat dilanda pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan bersama pada Isnin, mereka turut mendakwa pembelian tersebut dikatakan akan menelan belanja sebanyak RM300 juta.

"Apakah rasionalnya? Apakah pula data yang ditunjukkan dalam penyelenggaraan pesakit Covid-19 ini sehingga menyebabkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memutuskan untuk membeli ambulans jenis ini dan sebanyak itu?

"Berapakah jumlah anggota barisan hadapan yang mengendalikan pengangkutan pesakit atau jenazah pesakit Covid-19 yang telah terjangkiti ataupun menyumbang kepada kluster baharu di negara ini?," kata mereka.

Kenyataan tersebut menegaskan, tindakan sedemikian satu pembaziran yang nyata dan tidak langsung membantu dalam penyelesaian krisis pandemik Covid-19 di Malaysia.

"Alangkah baiknya jika wang sejumlah ini digunakan untuk melaksanakan perkara-perkara seperti mengambil lebih ramai sukarelawan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) serta memperbanyakkan program ujian saringan massa atau besaran besaran, supaya isolasi segera dapat dilaksanakan kepada mereka yang didapati positif.

"Cara ini sudah tentu dapat membendung rebakan jangkitan dengan lebih efektif.

"Bajet sebesar ini juga pasti dapat digunakan untuk mempercepatkan pemberian vaksin dengan cara antaranya memperbanyakkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) supaya akses kepada vaksin menjadi

lebih mudah, termasuk menggalakkan dan mempermudahkan klinik-klinik swasta beroperasi sebagai PPV di komuniti," katanya.

Pada masa sama, kenyataan bersama itu turut mendesak menteri berkenaan menjawab secara telus dan jelas kepada persoalan-persoalan yang diutarakan.

"Mengapakah Kementerian memulakan tender kepada 500 ambulans ini dalam keadaan yang tergesa-gesa? Adakah keputusan ini telah mendapat kelulusan kabinet?

"Apakah pelaksanaan tender ini dilakukan secara terbuka atau bagaimana? Syarikat mana pula yang telah berjaya memperolehnya?," soal mereka.

Kata kenyataan itu lagi, jawapan kepada semua persoalan itu diperlukan pada kadar segera.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!