PRK Semenyih: PKR sangkal dakwaan Pas

Zuraida (tiga, kiri) merasmikan merasmikan Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang di Pangsapuri Bayu Nyaman di Bayan Lepas tadi.
Zuraida (tiga, kiri) merasmikan merasmikan Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang di Pangsapuri Bayu Nyaman di Bayan Lepas tadi.
A
A
A

BAYAN LEPAS - PKR menyangkal dakwaan Pas bahawa parti itu dan DAP meminggirkan dan tidak turun padang bagi membantu calon Bersatu di PRK Semenyih.

Naib presidennya, Zuraida Kamaruddin berkata, dakwaan itu tidak benar kerana beliau bersama jentera Wanita PKR sentiasa berada di DUN berkenaan bagi membantu siri kempen bersama calon Bersatu, Muhammad Aiman Zainali.

Menurutnya, dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Dr Abdul Hadi Awang itu dilihat meleset kerana pihaknya memberi sokongan sepenuhnya dengan pelbagai program telah diadakan di kawasan tersebut.

"Dakwaan mengatakan bahawa PKR tidak turun padang di PRK DUN Semenyih tidak benar sama sekali. Ini pun, saya baru 'lari' dari sana (Semenyih) untuk bersama orang Pulau Pinang.

"Hari-hari lain, saya di peringkat Parlimen Ampang bersama Wanita PH sentiasa ada di Semenyih malah kami membuka bilik gerakan di Taman Kesuma yang sangat aktif dalam menganjurkan program serta aktiviti.

"Dan semalam (kelmarin), kami telah mengedar 10,000 bungkus bubur lambuk kepada masjid dan sebagainya," katanya kepada media tadi.

Terdahulu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merasmikan Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang di Pangsapuri Bayu Nyaman di sini.

Tambahnya, PH telah bergerak di bawah satu bumbung dalam siri berkempen di PRK DUN Semenyih dan ia menunjukkan semua parti komponen bersatu untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PH.

Artikel Berkaitan:

"Kami bergerak dalam satu kumpulan, tidaklah ada satu bilik gerakan PKR, satu DAP, satu Bersatu dan Amanah.

"Kami buat satu lambang di bawah PH dan kita semua pakai baju berwarna merah," katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi mengingatkan bahawa jangan menyalahkan Pas jika Bersatu kalah di Semenyih kerana PKR dan DAP didapati tidak turun padang untuk berkempen.

Selain itu, Ahli Parlimen Marang itu juga melahirkan kebimbangan parti yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu bakal tumbang di PRK tersebut kerana tidak mendapat bantuan daripada parti komponen lain.