PeBT MPS dinobat PeBT terbaik Selangor

Khairuddin (tengah) bergambar bersama pemenang.
A
A

SHAH ALAM - Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dinobat sebagai PeBT Terbaik Negeri Selangor sesi 2016 - 2018 dalam Majlis Apresiasi dan Penyerahan Watikah PeBT Selangor 2019, baru-baru ini.

Anugerah disampaikan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman kepada Mantan Pengerusi Induk PeBT MPS dan Negeri Selangor, Muadzam Mohamed Shariff.

Dalam majlis tersebut, PeBT Gombak menyapu bersih empat kategori dipertandingkan terdiri Anugerah Kepimpinan PeBT, Anugerah Khas PBT, Anugerah PeBT Terbaik di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Anugerah PeBT Terbaik Negeri Selangor.

Pemenang dipilih berdasarkan KPI dan penilaian oleh jawatankuasa dibentuk diwakili Exco selaku pengerusi jawatankuasa, Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Selangor menerusi laporan tahunan prestasi oleh pihak PBT.

Antara program berjaya dianjurkan PeBT Gombak termasuk Gempak Anak Muda Selangor, Pesta Sukan GENS PeBT MPS, Bengkel Gunting Rambut PeBT MPS, Bengkel Solekan PeBT MPS dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak - Anak Yatim.

Sementara itu, Muadzam berkata, kemenangan itu adalah sebagai kayu ukur dan suntikan semangat buat jawatankuasa PeBT baru yang dibentuk bagi sesi 2019 - 2021.

"Anugerah ini memberikan sejuta kenangan buat saya bersama pasukan PeBT MPS. Selaku agen kepada anak muda, PeBT harus memainkan peranan penting dan mesra dengan anak muda di peringkat akar umbi.

"PeBT perlu sentiasa berfikiran matang dan bergerak secara organisasi dalam memperkukuhkan muafakat anak muda Selangor serta menjadi platform membentuk pemimpin dan mengajar corak politik masa kini,"katanya.

Beliau turut mengingatkan peranan PeBT mengadakan program anak muda dan membantu menyelesaikan masalah gejala sosial.

"Gerakkan anak muda dengan pelbagai aktiviti bersama agensi - agensi kerajaan. Melalui penglibatan semua pihak masalah gejala sosial dan perangi dadah dapat dicegah dari dirawat, " katanya.