Isu Khairuddin: Polis rakam keterangan 11 individu

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 11 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan berkaitan hantaran menerusi aplikasi media sosial mendakwa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali ditahan di Perasing, Terengganu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, hantaran tular di Whats App tersebut dipercayai dimuat naik di laman web Info Negara Kini pada 28 Mei lalu kira-kira jam 4.50 petang.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 Bukit Aman, setakat ini seramai 11 individu telah dipanggil dan dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab yang memuatnaik hantaran tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Kata beliau, pihaknya akan merakam percakapan beberapa individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes sebelum kertas siasatan dirujuk ke pejabat peguam negara untuk arahan lanjut.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi berhubung siasatan kes ini.

"Sebarang bentuk penyebaran berita palsu dengan menggunakan platform media sosial merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Terdahulu, tular di WhatsApp mengenai dakwaan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali ditahan di Perasing, Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Hantaran tersebut turut memaparkan menteri berkenaan dan seorang wanita.

Pada 22 Jun lalu, polis mengesahkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diperiksa ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Perasing di Kemaman pada 16 Mei lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, siasatan lanjut kini dijalankan termasuk dakwaan dan maklumat tular melibatkan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

"Beliau ada diperiksa ketika melalui SJR itu pada 16 Mei lalu dan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman sedang melakukan siasatan berhubung kes ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Polis akan panggil Khairuddin