X

Kindly register in order to view this article
!

Tular belasah pemandu lori, dua penghantar makanan ditahan

Tular satu video pergaduhan melibatkan sekumpulan individu dipercayai penghantar makanan yang bertindak memukul seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Persiaran Setia Perdana, Setia Alam pada petang Isnin.
A
A

SHAH ALAM - Dua penghantar makanan ditahan polis dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Jalan Persiaran Setia Perdana, Setia Alam pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada satu kemalangan jalan raya melibatkan seorang penunggang penghantar makanan dengan sebuah lori.

"Siasatan dijalankan berikutan satu video tular melibatkan sekumpulan penghantar makanan memukul seorang lelaki dipercayai pemandu lori berkenaan susulan kemalangan tersebut berlaku kira-kira jam 5.30 petang.

"Setakat ini dua suspek telah diberkas dan usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM10,000 dan juga dipenjara tidak lebih setahun," katanya.

Tegasnya, kertas siasatan akan dirujuk ke Kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera bagi mendapatkan keputusan.

"Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang tindakan secara melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan pelanggaran undang-undang," katanya.

Pada Ahad, tular satu video pergaduhan melibatkan sekumpulan individu dipercayai penghantar makanan yang bertindak memukul seorang lelaki.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!