Cari jalan keluar, jangan pinggirkan penarik beca

Jawatankuasa Penaja PKR Cabang Tanjong berjumpa dan menyerahkan 60 pek makanan tengah hari kepada penarik beca di bawah Parlimen Tanjong.
Jawatankuasa Penaja PKR Cabang Tanjong berjumpa dan menyerahkan 60 pek makanan tengah hari kepada penarik beca di bawah Parlimen Tanjong.
A
A
A

GEORGETOWN - Jawatankuasa Penaja Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tanjong akan mengatur satu perjumpaan bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi membincangkan masalah yang membelenggu penarik beca di negeri ini.

Pemangku Ketua Cabang Keadilan Tanjong, Mohamed Fauzi Noordin berkata, perjumpaan itu juga akan disertai wakil penarik beca bagi mengetahui bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Selepas tamat sekatan pergerakan penuh ini, kami dari Jawatankuasa Penaja PKR Cabang Tanjong akan cuba mengatur satu perjumpaan bersama Ketua Menteri dan wakil penarik beca bagi membincangkan masalah mereka.

"Kita berharap akan dapat satu jalan penyelesaian buat mereka semua dan tidak terpinggir di negeri bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Katanya, masalah penarik beca di negeri ini telah dibawa ke Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang untuk dibincangkan lebih lanjut.

"Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik sendiri mahukan satu perbincangan diadakan bagi mengenalpasti jenis bantuan yang diperlukan oleh penarik beca yang terkesan.

"Ketika kita turun padang, kita ada berjumpa dengan penarik beca, mereka disarankan supaya menubuhkan satu persatuan atau pertubuhan untuk mereka senang bergerak secara teratur dalam mendapat bantuan daripada kerajaan negeri serta kerajaan Pusat.

"Mereka juga disarankan beberapa cadangan lain antaranya menaik taraf beca. Mereka setuju dan meminta ruang untuk berjumpa dengan kerajaan negeri bagi membincangkan isu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, PKR Cabang Tanjong mengagihkan 60 pek makanan tengah hari kepada penarik beca di tiga lokasi di bawah Parlimen Tanjong iaitu Lebuh Acheh, Jalan Penang dan Komtar.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keperitan hidup 140 penarik beca di negeri sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Selepas PKP 1.0, pelaksanaan PKP 2.0 bermula Januari lalu dan kemudian diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah mematahkan lagi semangat penarik beca untuk mencari rezeki.

Lebih memilukan, ada yang terpaksa tinggal di dalam beca dan mandi di tandas awam selepas tidak mampu menyewa bilik kerana tiada pendapatan.