Empat nelayan tangkap ikan guna bubu naga ditahan

Empat nelayan termasuk dua warga Indonesia ditahan dipercayai menangkap ikan menggunakan bubu naga. Foto: ihsan APMM
Empat nelayan termasuk dua warga Indonesia ditahan dipercayai menangkap ikan menggunakan bubu naga. Foto: ihsan APMM
A
A
A

PARIT BUNTAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat nelayan kerana menangkap ikan menggunakan bubu naga pada kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika barat laut muara Kuala Kurau di sini pada Ahad.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, empat lelaki termasuk dua warga Indonesia berusia antara 14 hingga 50 tahun ditahan oleh pasukan yang menjalankan rondaan penguatkuasaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati permit kerja milik dua warga asing terbabit telah tamat tempoh.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot menemukan 20 set bubu naga yang disyaki digunakan untuk menangkap hasil laut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

20 set bubu naga dirampas daripada suspek. Foto: ihsan APMM
20 set bubu naga dirampas daripada suspek. Foto: ihsan APMM

Menurutnya, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.

"Dua warga asing terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana dokumen pengenalan diri tamat tempoh," katanya.

Artikel Berkaitan: