X

Kindly register in order to view this article
!

Jaya Gading catat sifar kompaun sepanjang PKPD

Mohamad Noor (dua kanan) mengiringi Khairuddin menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi JKKK Jaya Gading, Azmi Mohamad mewakili PKP Jaya Gading selepas tugasan PKPD di kawasan itu tamat pada tengah malam Isnin.
A
A

KUANTAN- Polis Kuantan berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk Jaya Gading yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berakhir pada Isnin.

Sepanjang 14 hari pelaksanaan PKPD di kawasan itu tiada sebarang kompaun melibatkan kesalahan melanggar SOP dikeluarkan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ia membuktikan tahap pematuhan SOP dalam kalangan penduduk berada tahap terbaik.

Menurutnya, lebih penting, hasil penugasan yang dijalankan melibatkan pelbagai agensi turut membantu menghalang penularan jangkitan Covid-19 di kawasan tersebut.

"Hasil saringan yang dijalankan ke atas 500 penduduk sekitar Jaya Gading dalam tempoh PKPD ini, tiada kes dan kluster baharu dikesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses penutupan penugasan PKPD di Jaya Gading di sini pada tengah malam Isnin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud.

Mohamad Noor (dua kanan) mengiringi Khairuddin menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi JKKK Seri Damai, Mohd Amiruddin Mat Isa mewakili PKP Seri Damai selepas tugasan PKPD di kawasan itu tamat pada tengah malam Isnin.
Mohamad Noor (dua kanan) mengiringi Khairuddin menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi JKKK Seri Damai, Mohd Amiruddin Mat Isa mewakili PKP Seri Damai selepas tugasan PKPD di kawasan itu tamat pada tengah malam Isnin.

Mohamad Noor berkata, beliau juga berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP dalam kalangan pemain industri dan pekerja di kawasan perindustrian Gebeng yang turut dikenakan PKPD berakhir pada Isnin.

Menurutnya, secara keseluruhan tahap pematuhan SOP dalam kawasan ini memuaskan namun beberapa kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan beroperasi melebihi masa yang dibenarkan.

Sementara itu, beliau menghargai peranan Pasukan Komuniti Prihatin (PKP) yang julung kalinya dilibatkan dalam membantu penugasan sepanjang PKPD di kawasan Jaya Gading.

Menurut beliau, peranan pasukan yang diwujudkan dalam kalangan pimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Jaya Gading dan Seri Damai itu terbukti berkesan dan memberi impak kepada penduduk.

"Mereka banyak membantu mengikut SOP yang digariskan terutama dalam memantau kawasan, penyaluran maklumat dan bantuan.

"Sebagai pemimpin setempat, mereka lebih tahu selok-belok kawasan itu dan dihormati penduduk jadi mereka mudah untuk mendekati serta didekati untuk sebarang permasalahan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!