Harga saham Digi dan Axiata meningkat

No Image Caption
A
A
A

HARGA saham Axiata Group Bhd dan Digi.Com Bhd, masing-masing meningkat 2.08 peratus dan 1.01 peratus pagi ini berikutan perjanjian definitif yang ditandatangani pada Isnin untuk menggabungkan operasi mudah alih mereka di Malaysia dalam transaksi telekomunikasi terbesar di negara ini.

Pada 9.51 pagi, Digi naik sembilan sen kepada RM4.41 dengan 1.1 juta saham bertukar tangan manakala Axiata meningkat empat sen kepada RM4.02 dengan 402,100 saham diniagakan.

Kedua-dua saham tersebut merupakan antara tiga kaunter untung utama yang terbesar dalam 30 konstituen indeks di Bursa Malaysia pagi ini.

Penggabungan Celcom Axiata Bhd dan Digi, dirujuk sebagai syarikat gabungan, akan memberikan perkhidmatan dianggarkan kepada 19 juta pelanggan dengan pendapatan RM12.4 bilion.

Axiata Group dan syarikat induk Digi, Telenor akan menjadi rakan niaga setara dengan masing-masing menguasai 33.1 peratus pegangan dalam syarikat berkenaan yang akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd.

Disasarkan menjadi antara lima syarikat terbesar disenaraikan di Bursa Malaysia dari segi pemodalan pasaran, syarikat gabungan itu dinilai pada nilai ekuiti prasinergi gabungan mencecah hampir RM50 bilion, selepas mengambil kira terbitan saham biasa baharu dalam Digi. - Bernama

Artikel Berkaitan: