Undi tak percaya: Pas sudah-sudahlah cemar nama Islam - Anwar

Anwar ketika di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, Parlimen Lembah Pantai, di sini, hari ini.
Anwar ketika di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, Parlimen Lembah Pantai, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Teori Pas yang mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi dalang gerakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ternyata merosakkan imej dan parti Islam.

Oleh itu, Anwar menasihatkan Pas supaya menghentikan politik fitnah dan bohong dengan menggunakan nama Islam.

“Masalah Pas ini, mereka ada isu dana RM90 juta ambil wang Umno. Sebab itu cuba reka teori undi tak percaya seperti ini.

“Saya nak nasihat, orang Islam tak boleh fitnah. Dulu Pas boleh bohong, sekarang boleh fitnah pula.

“Kalau dia (Pas) nak guna politik untuk gelanggang fitnah dan bohong, jangan guna nama Islam. Ia merosakkan imej Islam atas nama parti Islam,” katanya ketika ditemui media di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, Parlimen Lembah Pantai, di sini, hari ini.

No Image Caption

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut menambah tindakan dan kenyataan Pas telah mengundang persepsi negatif orang bukan Islam terhadap agama Islam.

“Orang bukan Islam kata, Oh syeikh-syeikh sekarang boleh bohong, syeikh-syeikh sekarang boleh fitnah.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya nak nasihatkan Pas sebagai seorang orang Islam, saya nyatakan kita boleh berpolitik tapi hentikan politik fitnah dan bohong,” katanya.

Dalam pada itu, beliau ketika ditanya adakah beliau menafikan dakwaan Pas kononnya beliau orang di sebalik tabir undi tidak percaya kepada Dr Mahathir.

“Saya kata (dakwaan Pas) itu bohong dengan fitnah, kamu (wartawan) tanya lagi? Kamu ini anak murid Ustaz Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) juga,” bidas Anwar.

Sementara itu, bakal Perdana Menteri ke-8 itu turut mengingatkan agar pimpinan kerajaan dan rakyat tidak terheret dengan mainan politik Pas.

“Jadi jangan kita terheret dengan mainan politik Pas, kadang-kadang boleh bohong, kadang-kadang boleh kata ada usul undi tak percaya, nak tutup kes RM90 juta yang Pas terima daripada Umno," katanya.