X

Kindly register in order to view this article
!

Segerakan program imunisasi berkelompok untuk penggiat industri kreatif

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) merayu kerajaan agar segera melaksana program imunisasi berkelompok untuk penggiat industri kreatif yang turut menyumbang kepada usaha menangani pandemik Covid-19 secara langsung mahupun tidak langsung.

Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim berkata, penggiat industri itu terdiri daripada semua pekerja yang terlibat dalam bidang penerbitan drama, filem cereka, iklan, dokumentari dan berita sama ada di stesen penyiaran mahupun syarikat persendirian.

“Stesen televisyen perlu menyiarkan program baharu sama ada drama, hiburan atau dokumentari terutama yang membawa mesej berkaitan Covid-19. Walaupun stesen TV boleh menerbitkan sendiri program mereka, ia tidak mencukupi. Banyak program perlu diperoleh daripada luar terutama drama dan iklan.

“Dalam keadaan tanpa vaksinasi pasti sukar bagi stesen atau penerbit luar untuk membuat dan membekalkan program baharu kerana risiko jangkitan akan berlaku dalam kalangan pekerja yang tidak diberi vaksin,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Namun, beliau berkata, isu paling utama ialah kelangsungan hidup penggiat industri yang bergantung 100 peratus kepada kerja penerbitan sebagai mata pencarian, dengan lebih 90 peratus daripada mereka merupakan karyawan bebas yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Sudah sebulan lebih kami tidak bekerja dan tiada bentuk bantuan khusus dirancang oleh kerajaan.

“Sepatutnya rangka perancangan vaksin berkelompok ini diwujudkan dan pusat pemberian vaksin khusus untuk media dan penggiat seni ditubuhkan dua bulan lepas,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!