MPM harap Sukan Para Asean Hanoi diteruskan

 Megat D Shahriman Zaharudin
Megat D Shahriman Zaharudin
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berharap Sukan Para Asean Hanoi, Vietnam yang dijadualkan pada 17 hingga 23 Disember ini diteruskan dan tidak dibatalkan seperti Sukan Para Asean 2019 di Filipina.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, sukan itu perlu diteruskan supaya tidak memberi kesan kepada atlet yang akan mengharungi beberapa sukan utama lebih mencabar tahun depan yang memerlukan percaturan baharu.

“Untuk Hanoi, belum ada kata putus sama ada ditunda atau dibatalkan...tapi kami Majlis Paralimpik Malaysia telah menghantar surat untuk membantah supaya tidak dibatalkan, jadi kami tunggu. Kami tak mahu ianya dibatalkan, “ katanya.

Beliau berkata, Malaysia sanggup memberi kerjasama sepenuhnya kerana pembatalan temasya sukan itu akan membawa kesan hingga ke tahun depan berikutan beberapa sukan utama dijadual berlangsung antaranya Sukan Asia Hangzhou (10 hingga 25 September) dan Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai hingga 8 Ogos 2022) yang boleh menjejaskan tumpuan atlet.

“Atlet kita pun dah terlepas aksi pada kejohanan Asean tahun lepas di Manila yang ditangguh ke tahun ini dan jika ditangguhkan lagi ke tahun depan, kita kena letakkan yang mana diutamakan untuk memilih semula kejohanan mana yang perlu diberi tumpuan untuk capai kejayaan besar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Usahawan Negara berkata demikian selepas program pemberian kupon minyak percuma kepada 65 orang pemandu teksi di daerah ini di sini, pada Isnin.

Vietnam sebelum ini bercadang untuk menangguhkan Sukan SEA dan Sukan Para Asean selama setahun pada mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) yang diadakan secara maya minggu lepas, namun cadangan itu mendapat bantahan lapan daripada 11 negara peserta termasuk Malaysia.

Berikutan itu, Vietnam diberikan tempoh dua minggu untuk membentangkan cadangan baharu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Megat D Shahriman menaruh harapan agar kontinjen negara mampu mencipta kejutan dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang membuka tirainya pada 24 Ogos depan.

Katanya, Kontinjen Malaysia turut menerima tajaan sepenuhnya daripada Datuk Bandar Miyoshi untuk berada 10 hari lebih awal di Jepun sebelum tarikh dijadual memasuki perkampungan sukan itu bagi menyesuaikan diri di Jepun.

“Kita sasarkan lebih daripada tiga pingat emas yang diraih di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 dan berharap lebih banyak pingat diperoleh sebab banyak negara tak ambil bahagian,” katanya. - Bernama

-