Denmark cipta kejutan ke saingan kalah mati

Pemain Denmark meraikan kejayaan mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.
Pemain Denmark meraikan kejayaan mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.
A
A
A

DENMARK mencipta kejutan untuk mara ke saingan 16 pasukan terakhir selepas menundukkan Rusia 4-1 dalam aksi Kumpulan B Euro 2020 di Stadium Parken, Copenhagen pada awal pagi Selasa.

Tatkala dilabel sebagai bukan pasukan pilihan untuk layak selepas tewas dalam dua perlawanan berturut-turut, Denmark bangkit memperagakan persembahan luar biasa untuk mengakhiri saingan kumpulan B di kedudukan kedua

Ia sekali gus menyaksikan pasukan kendalian Kasper Hjulmand itu akan mengiringi Belgium sebagai wakil kumpulan B dan akan menentang Wales di pusingan 16 pasukan terakhir.

Dalam perlawanan itu, Mikkel Damsgaard meletakkan Denmark di hadapan pada minit ke-38 sebelum Yussuf Poulsen menggandakan kedudukan pada minit ke-59.

Rusia yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara cuba bangkit menerusi gol penalti Artem Dyzuba pada minit ke-70, namun pemain pertahanan Denmark, Andreas Christensen mematikan langkah Rusia dengan gol ketiga pada minit ke-79.

Pemain pertahanan kanan Denmark, Joakim Maehle memastikan kemenangan bergaya buat pasukan itu menerusi gol keempat pada minit ke-82.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan B, Belgium tidak berdepan masalah untuk menundukkan Finland 2-0 di Gazprom Arena.

Gol sendiri daripada penjaga gol Finland, Lukas Hradecky dan jaringan penyerang sensasi Belgium, Romelu Lukaku memastikan pasukan yang terkenal dengan jolokan The Red Devils itu mengakhiri saingan kumpulan dengan rekod tanpa kalah.

Artikel Berkaitan: