Malaysia kongsi rancangan peralihan tenaga dengan Menteri Tenaga ASEAN

Foto Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
Foto Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memberi fokus kepada rancangan penjanaan tenaga dengan sasaran 31 peratus Tenaga Diperbaharui (RE) dalam kapasiti terpasang pada tahun 2025, dan 40 peratus pada tahun 2035, sebagai rancangan peralihan tenaga hingga tahun 2040.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam kenyataan malam Isnin berkata, Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah telah berkongsi rancangan peralihan tenaga Malaysia dengan Menteri-menteri Tenaga ASEAN dan perwakilan lain yang mengambil bahagian dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri ASEAN Mengenai Tenaga serta Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, yang berlangsung secara maya hari ini.

Dalam mesyuarat itu Shamsul Anuar berkata, kapasiti terpasang bagi RE di Malaysia setakat ini adalah 7,995 megawatt (MW), dan menjelang 2035, kapasitinya diunjurkan meningkat sekali ganda sehingga 18,000 MW.

"Menteri juga menjelaskan bahawa untuk meningkatkan pengagihan RE dalam gabungan kapasiti tenaga, kerajaan akan memberi tumpuan kepada Semenanjung Malaysia, memandangkan ia meliputi 80 peratus permintaan elektrik negara.

"Daripada 31 peratus sasaran RE pada tahun 2025, 26 peratus adalah dari Semenanjung Malaysia dan dari 40 peratus sasaran pada tahun 2035, Semenanjung mewakili 32 peratus.

"Kapasiti RE di Semenanjung diunjurkan meningkat daripada 4,430 MW ketika ini kepada 10,944 MW dalam 15 tahun akan datang. Memandangkan solar memiliki potensi tertinggi, Malaysia merancang untuk memperkenalkan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), dengan jumlah kapasiti 500 MW mulai 2030 dan tahun seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Dalam mesyuarat itu, Shamsul Anuar berkata, dengan sasaran RE itu, kepekatan pelepasan karbon disasar untuk dikurangkan 45 peratus pada tahun 2030, dan seterusnya 60 peratus pada tahun 2035, berbanding tahap 2005 yang merupakan selaras dengan sasaran Sumbangan Yang Ditentukan Negara (NDCs) di bawah Perjanjian Iklim Paris. Beliau turut menegaskan bahawa rancangan peralihan tenaga Malaysia perlulah mengikut kemampuan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 7 memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki, mampan dan moden untuk semua.

"Sehubungan itu semasa Malaysia berusaha untuk mencapai sasaran RE yang lebih tinggi dalam gabungan kapasitinya, kementerian (KeTSA) juga mempertimbangkan kemampuan rakyat terhadap peralihan tenaga dan ketahanan sistem tenaga Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Anuar berkata, lebih daripada 7,000 MW Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) loji janakuasa arang batu akan berakhir pada tahun 2033, dan digantikan kebanyakannya dengan gas dan RE, yang sekali gus menurunkan pelepasan karbon Malaysia.

"Walaupun Malaysia tidak akan membangun loji tenaga arang batu baharu, KeTSA tidak menolak pilihan untuk melanjutkan operasi loji itu, namun keputusan untuk lanjutannya bergantung kepada ketersediaan teknologi di masa depan dalam mengurangkan pelepasan dan juga kos penggunaan teknologi itu," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu Shamsul Anuar berkata, memandangkan solar memiliki potensi tertinggi di Semenanjung, kebanyakan RE Malaysia akan disumbangkan oleh solar, dan pihak kementerian akan memperkenalkan skala utiliti BESS dengan jumlah kapasiti 500 MW dari 2030-2034.

"ASEAN akan terus bekerjasama dengan pelbagai rakan dialog dan organisasi antarabangsa untuk mencapai matlamat tenaga lestari.

"Malaysia menghargai sokongan yang diberikan oleh Jepun untuk meningkatkan lagi dasar dan programnya, yang akan membantu mengubah sistem tenaga kita ke arah pelepasan karbon yang lebih rendah.

"Malaysia mengalu-alukan Inisiatif Peralihan Tenaga Asia (AETI) Jepun dalam memberikan sokongan dari segi kepakaran, perkongsian pengetahuan dan peningkatan kapasiti ke arah pembangunan tenaga yang lestari, berpatutan dan boleh diharapkan di masa depan untuk ASEAN," menurut kenyataan itu.

Sempena Mesyuarat Khas Menteri-menteri Tenaga ASEAN, serta Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun; para menteri ASEAN bersama-sama dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, telah mengeluarkan Pernyataan Bersama mengenai 'Meningkatkan Perkongsian dalam Merealisasikan Peralihan Tenaga di ASEAN'. - Bernama