KWP teliti langkah beri potongan kepada pembayar cukai pintu

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan sedang meneliti untuk memberikan potongan kepada semua pembayar cukai pintu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai antara insentif bagi meringankan beban golongan itu.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketika ini beliau memutuskan pembayaran cukai pintu boleh dilakukan secara ansuran dan mereka yang telah lewat membuat bayaran kerana mempunyai masalah kewangan tidak akan dikenakan sebarang penalti.

"Di saat susah ini, apalah salahnya kita berkorban, apa salahnya pulangkan balik beberapa peratus kepada pembayar cukai dan perkara ini sedang diteliti dengan terperinci, tapi pada dasarnya, saya telah memberi persetujuan.

"Pembayaran ansuran, memberikan rebat dan juga menghapuskan penalti itu antara insentif kita lakukan untuk seluruh Wilayah Persekutuan.

"Walaupun Kuala Lumpur serius dari segi kesan (ekonomi) kepada warganya, kita juga yakin akan pulih secepatnya kerana di sini ada ruang untuk mencari rezeki, peluang untuk menambah peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual secara langsung dalam program Bicara Naratif di RTM pada Isnin.

Sebelum ini, kementerian itu telah memperkenal tujuh Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 untuk kemudahan serta mengurangkan beban warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 khususnya golongan B40 dan miskin bandar. - Bernama

Artikel Berkaitan: