X

Kindly register in order to view this article
!

Pasar durian dalam talian, jual secara COD

Abdul Hadi (kiri) bersama pekerjanya menunjukkan durian kampung di dusunnya di Kampung Air Putih Pekan Nanas.
A
A

PONTIAN - Lebih 250 kilogram (kg) durian kampung dihantar setiap hari secara segar dari kebun durian di Kampung Air Putih Pekan Nanas kepada pelanggan di sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang.

Itulah yang dilalui pekebun durian, Abdul Hadi Ahmad Sani, 41, sejak seminggu lalu, apabila raja buah di kebunnya yang berkeluasan tiga hektar mula gugur.

Katanya, kehadiran musim durian ketika Sekatan Pergerakan Penuh tidak menghalang peniaga sepertinya memasarkan durian secara dalam talian melalui Facebook dan aplikasi WhatsApp.

"Musim durian paling ditunggu-tunggu. Lebih-lebih lagi durian Pekan Nanas Pontian di sini dicari-cari oleh peminat durian kerana keenakan rasanya.

"Berdasarkan pengalaman musim durian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, saya dapati cara pemasaran durian perlu diubah bagi mengelakkan berlaku lambakan durian," katanya.

Abdul Hadi menjelaskan, dengan bantuan empat pekerjanya, khidmat penghantaran dengan kaedah pembayaran tunai ketika serahan (COD) disediakan di sekitar Johor Bahru dan beberapa daerah sekitar seperti Batu Pahat dan Kluang.

Durian kampung di dusun Kampung Air Putih Pekan Nanas.
Durian kampung di dusun Kampung Air Putih Pekan Nanas.

"Permintaan durian cukup tinggi di Johor Bahru dan Pasir Gudang, memang tak menang tangan. Kebiasaannya saya akan letak gambar durian dan jadual bila saya akan ke luar daerah untuk membuat penghantaran.

"Dari situ pelanggan akan dapat informasi dan memudahkan mereka untuk membuat pembelian. Durian kampung dijual pada harga sekitar RM15 sekilogram," katanya ditemui pada Isnin.

Abdul Hadi memberitahu, surat kebenaran beroperasi yang diberikan Jabatan Pertanian memudahkan pergerakannya menghantar durian kepada pelanggan di luar daerah.

"Selain durian kampung, terdapat juga durian jenis IOI dan musang king di dusun yang dijangka gugur pada minggu hadapan.

"Tidak berlaku lambakan durian setakat ini di Johor, memandangkan ramai yang memilih kaedah pemasaran secara dalam talian selain peniaga-peniaga durian dibenarkan berniaga," katanya.

Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, ramai pelanggannya yang meluahkan perasaan rindu untuk makan durian bersama keluarga dan kawan-kawan di dusun seperti yang dilakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP).

"Dua tahun lepas, dusun durian ini yang turut dikenali sebagai Durian Landak dikunjungi ramai pelanggan. Mereka makan secara santai di dalam dusun, kebanyakan datang dari Johor Bahru.

"Tetapi kini dusun durian ini sunyi kerana Sekatan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan ketika ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Harga durian tidak merudum tetapi lebih berpatutan musim ini: FAMA


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!