Mahasiswa dan tingkah laku rasuah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PEMUDA harapan bangsa, pemudi tiang negara’ merupakan peribahasa yang menunjukkan betapa pentingnya peranan dan sumbangan golongan mahasiswa kepada masyarakat dan negara.

Rata-rata masyarakat menganggap mereka adalah aset dan pemimpin masa hadapan untuk membina Malaysia menjadi negara maju dan dihormati.

Andaian tersebut harus disahut dan dibuktikan oleh mahasiswa. Justeru, mereka bukan sahaja perlu mempunyai kelulusan akademik yang baik tetapi turut disertai dengan nilai integriti tinggi sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Pengertian integriti telah ditakrif lebih jelas lagi dalam Plan Integriti Nasional 2006 (PIN 2006) yang membawa maksud kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu dan berteraskan prinsip teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral.

Tahap kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur oleh indikator ekonomi dan kemampuan berdaya saing, tetapi turut dinilai dari aspek integriti dan moral yang dimiliki oleh organisasi dan masyarakatnya.

Ini kerana semua faktor tersebut saling berkaitan dan menyokong antara satu sama lain.

Kajian terdahulu mendapati integriti mempunyai hubungan yang positif dengan kesejahteraan individu (Widang & Fridlund, 2003), kesejahteraan komuniti dan kesejahteraan organisasi (Ones et al., 2003).

Integriti membentuk jati diri iaitu individu yang mempunyai tingkah laku yang baik dan bebas daripada tingkah laku yang negatif.

Artikel Berkaitan:

Justeru, sekiranya mahasiswa pada hari ini mempunyai integriti yang lemah dan menjadi pemimpin pada masa akan datang, sudah pasti mereka mudah terpengaruh dengan anasir tidak sihat.

Kita tidak mahu mereka terjebak dengan tingkah laku memberi dan menerima rasuah. Oleh sebab itu ia harus dibanteras tanpa noktah dan program kesedaran rasuah terus diperkasa supaya mahasiswa peka dengan tingkah laku yang dianggap melanggar integriti.

Hakikatnya, tingkah laku rasuah dalam kalangan mahasiswa agak membimbangkan. Akhbar tempatan melalui kajian yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2017 melaporkan bahawa 16 peratus daripada 1,000 orang mahasiswa sanggup menerima rasuah.

Sebanyak18.5 peratus pula sanggup memberi rasuah. Malah 35 peratus mahasiswa menganggap bahawa penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan yang diberikan adalah bukan rasuah.

Angka ini terus meningkat dari tahun ke tahun. Agak mencemaskan bukan! Mengapakah hal ini berlaku? Penulisan ini cuba mengupas faktor-faktor yang mendorong berlakunya tingkah laku rasuah.

Budaya

Penyelidikan lepas melaporkan bahawa faktor utama wujud tingkah laku memberi dan menerima rasuah disebabkan oleh kebiasaan. Jika orang lain boleh beri dan terima rasuah kenapa tidak saya. Seolah-olah ia menjadi satu budaya dalam masyarakat.

Pada masa sama, aktiviti rasuah berlaku untuk memastikan matlamat dalam kerjaya dan profesionalisme dicapai. Sebagai contoh, tawaran kerja diperoleh dengan mudah walaupun tidak memenuhi syarat kelayakan dan urusan kenaikan pangkat dalam jawatan dilakukan dengan cepat.

Faktor lain adalah bagi tujuan kesinambungan kerjaya. Bagi tujuan ini, sejak di universiti lagi sikap merasuah pensyarah bagi mendapat gred yang baik dengan anggapan bahawa mudah mendapat pekerjaan setelah tamat kelak.

Walhal, banyak faktor yang dilihat oleh majikan untuk memilih pekerja seperti kemahiran berkomunikasi, etika dan nilai, kemahiran berfikir, kepimpinan, membuat keputusan dan penyelesaian masalah, kerja berpasukan, perancangan kerja dan kemahiran lain (Zafir, Ishak, Abd Hair Awang, 2015); idea-idea baharu, kemahiran menyelesaikan masalah (Lucas, Mohd Zairulniza, Mohliyarni, 2018).

Walau apa pun alasannya, tingkah laku memberi dan menerima rasuah tetap merupakan suatu kesalahan, bukan sahaja dari segi undang-undang negara malah agama juga tidak membenarkan.

Rasuah bukan satu pilihan untuk memenuhi keperluan tetapi kegiatan tidak bermoral yang perlu diperangi habis-habisan.

Ibarat kata pepatah ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Ayuh mahasiswa, fikir dahulu kesan yang bakal diterima sebelum memberi dan menerima rasuah.

Tanamkan sikap prihatin dan nilai integirit yang tinggi dalam diri anda agar tidak menyesal kemudian hari.

* Profesor Madya Dr. Akmar Hayati Ahmad Ghazali, Profesor Madya Dr Hanina Halimatusaadiah Hamsan dan Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman dari Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia