Buka jendela lihat indahnya dunia

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KELUAR satu notifikasi di telefon, ‘Perancis umum perintah berkurung ditamatkan esok, rakyat bebas keluar tanpa memakai pelitup muka!’

Membaca notifikasi itu umpama membuka tingkap selepas setahun berkurung di dalam rumah, kemudian anda boleh nampak kehijauan sejauh mata memandang.

Ohhh!! indahnya dunia...Memang seronok kalau berangan!

Insya-ALLAH itu semua akan menjadi kenyataan di negara kita apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shahsudah bertitah pada 16 Jun lalu supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Seri Paduka Baginda turut bertitah darurat ditamatkan pada 1 Ogos bagi menangani Covid-19 dan mahu kerajaan berusaha menyelamatkan ekonomi negara.

Jadi, mereka yang mahu Parlimen dibuka dan darurat ditamatkan kini sudah berpuas hati dengan harapan akan ada perubahan kehidupan dalam negara.

Adakah ia akan menjadi kenyataan? Ia tidak boleh diangguk sahaja kerana semua bergantung kepada ahli Dewan Rakyat yang bertemu dan mengemukakan idea bernas memikirkan cara terbaik menangani perkara itu.

Keprihatinan Seri Paduka Baginda dan persetujuan Raja-raja Melayu yang sependapat bahawa tiada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos depan sebenarnya merupakan satu peluang kepada ahli Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Rakyat pula berharap anggota Parlimen berfikir dan bukan bertelagah, memerli serta menegakkan benang basah dengan mempolitikkan isu yang menjadi pandemik dunia ketika ini.

Lebih parah lagi jika ada badan bukan kerajaan yang menjadi ‘nasi tambah’ mempolitikkan isu itu sehingga masyarakat sendiri keliru...siapa salah, siapa betul?

Lalu bagaimana mahu melihat pertemuan semula anak dan ibu bapa, mengeratkan hubungan keluarga atau bertandang ke rumah kawan?

Persoalan

Selain itu pelbagai persoalan timbul selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Parlimen bersidang sekitar September atau Oktober 2021.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong adalah penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, UMNO memberi tempoh 14 hari untuk Parlimen bersidang atau satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman pula berkata, pembangkang umpama ‘menangguk di air yang keruh’ apabila cuba memutar belit kenyataan tersebut seolah-olah Parlimen perlu dibuka sekarang tanpa mengira situasi wabak Covid-19 yang masih mengganas.

Beliau berkata, kenyataan Istana Negara itu sebenarnya bertepatan dengan jaminan Perdana Menteri bahawa Parlimen akan dibuka secepat mungkin pada September atau Oktober setelah kadar vaksinasi di negara ini mencapai sasaran tertentu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen pula berpendapat pembukaan Parlimen tidak perlu didesak dan tergesa-gesa kerana bimbang menjadi medan ketidakstabilan politik.

Mohd Rafiq berkata, ketika kerajaan berusaha dan bersungguh-sungguh membuat persediaan pembukaan Parlimen, tidak seharusnya ada pihak mempunyai agenda mereka.

Pelbagai pendapat muncul dan itu belum lagi termasuk pemimpin daripada akar umbi, orang kampung, peniaga, semua pun ada pendapat mereka.

Jadi, apa kata kurangkan kutukan, kita sama-sama menadah tangan, berdoa supaya semua pemimpin serta kakitangan yang menguruskan wabak ini cekal dan kita sendiri dengarlah nasihat, ikutlah kata.

Membaca lagi kisah Perancis... ‘Perintah berkurung pada waktu malam yang dilaksanakan selama lapan bulan sebelum ini ditarik semula bermula hujung minggu ini’.

Jadi, kita hanya mampu menelan air liur dan pejam mata membayangkan seronoknya memandu kereta pulang ke kampung dan melancong.

* Aswany Omar ialah Penyunting Sinar Harian