'Kembalikan aura Beijing 1990'

Zolkples (gambar kecil) berkata, perkara utama dalam menjulang kembali maruah sepak takraw negara ketika ini adalah penyediaan pasukan yang mantap untuk mengalahkan Thailand. - Gambar fail Bernama
Zolkples (gambar kecil) berkata, perkara utama dalam menjulang kembali maruah sepak takraw negara ketika ini adalah penyediaan pasukan yang mantap untuk mengalahkan Thailand. - Gambar fail Bernama
A
A
A

KITA mahu kembalikan aura Sukan Asia 1990 Beijing, apabila negara buat julung kalinya menewaskan Thailand dalam acara regu dan berpasukan regu.”

Itu reaksi mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong ketika menegaskan perkara yang menjadi keutamaan dalam menjulang kembali maruah sepak takraw negara pada ketika ini adalah penyediaan pasukan yang mantap untuk mengalahkan Thailand.

Malah, Zolkples berkata, sekiranya Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang baharu tampil dengan pelbagai program pemerkasaan pembangunan sukan warisan tersebut tetapi masih gagal mengalahkan Thailand, semua pembaharuan itu disifatkan sesuatu yang gagal oleh komuniti sepak takraw negara.

“Perkara utama yang memberikan impak terhadap pembaharuan PSM adalah kemampuan kita menyediakan skuad sepak takraw yang bukan sahaja solid tapi konsisten mengalahkan Thailand.

“Pada saya, orang ramai khasnya komuniti takraw akan melihat kemampuan kita mengalahkan Thailand sebagai benchmark tertinggi kejayaan pembaharuan PSM pada masa depan.

“Sejujurnya, prestasi skuad takraw kita tidak berada pada tahap terbaik sebenarnya dan masih boleh diperbaiki lagi, contoh apabila kita memenangi pingat emas Sukan Asia 2018 di Jakarta pun, terdapat suara-suara sumbang mengatakan kemenangan menerusi 'pintu belakang'.

“Jadi, inilah antara perancangan jangka pendek yang perlu diberikan keutamaan pada masa ini kerana kita mempunyai pool pemain-pemain takraw yang besar,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Jelas Zolkples lagi, beliau yakin perancangan jangka pendek itu mampu direalisasikan dalam masa terdekat kerana negara tidak berdepan masalah dalam mendapatkan pemain yang berkualiti selain memiliki ramai pemain sepak takraw yang sedang meningkat.

Artikel Berkaitan:

Menurut Zolkples, kebanyakan pemain ini telah pun membuktikan keupayaan masing-masing dalam pertandingan kompetitif domestik seperti Liga Sepak Takraw (STL) sebelum ini.

“Cumanya mungkin ruang untuk pemain-pemain berbakat ini menembusi skuad utama negara terlepas pandang pihak PSM sebelum ini, dan ini merupakan satu kerugian pada ketika sebenarnya sudah mampu menyediakan skuad yang ampuh dengan barisan pemain pelbagai pilihan untuk diketengahkan jurulatih.

“Saya bagi contoh antara yang masih boleh menyumbang untuk mengembalikan maruah sepak takraw negara adalah Sobey (Zulkifli Abd Razak), Syahir Rosdi yang boleh digandingkan dengan Azlan Alias. Selain itu kita juga memiliki Aizat Nordindan Irsyad Faiz.

“Seiring dengan pemain berkualiti yang kita ada sekarang, perhatian juga perlu diberikan terhadap permerkasaan sistem latihan dan jurulatih yang betul, selain perlawanan pendedahan kepada pemain dalam mematangkan permainan mereka,” katanya.

Laporan Sukan Sinar pada 8 Jun lalu.
Laporan Sukan Sinar pada 8 Jun lalu.

Mengulas mengenai perancangan jangka panjang pula, Zolkples menegaskan bekas 12 ahli gabungan (G12) PSM merancang mengadakan kolaborasi dengan Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelajaran dengan menubuhkan pusat kecemerlangan sepak takraw di seluruh negara.

“Kita akan libatkan pihak sekolah dalam perancangan jangka panjang ini, kerana sekolah merupakan platform yang terbaik dalam memastikan sistem pembekalan berterusan pemain tidak putus pada masa depan.

“Guru-guru juga berkemungkinan akan dilibatkan secara tidak langsung sebagai jurulatih dalam program ini dengan menyertai kursus kejurulatihan yang sekaligus dapat meningkatkan lagi kualiti sukan ini di peringkat akar umbi,” katanya.

Pada masa sama, Zolkples juga berkata, bekas pemain kebangsaan juga akan dilibatkan dalam urus tadbir program pembangunan sepak takraw negara.

“Kita sedia maklum, negara memiliki bekas ramai pemain yang berkualiti yang sudah terbukti kewibawaan masing-masing dalam mengendalikan pasukan antaranya Ahmad Jais Baharun dan Futra Abdul Ghani.

“Saya percaya dengan pengalaman bekas pemain negara ini, sekiranya mereka dilibatkan dalam pembangunan akar umbi, secara tidak langsung akan menjadikan corak permainan di peringkat akar umbi lebih matang.

“Cumanya ingin ditegaskan pengambilan bekas pemain kebangsaan tidak akan diambil secara sembrono, sebaliknya keutamaan diberikan kepada pemain yang mempunyai rekod disiplin baik selain pengalaman dan paling penting tidak mempunyai masalah yang akan menjejaskan imej PSM pada masa depan,” katanya.