Majlis hari jadi punca 19 individu positif Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Majlis hari jadi yang diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini telah dikenal pasti menjadi punca yang mencetuskan kluster baharu Covid-19 di Sabah dengan 19 kes positif dilaporkan setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Serudung Baru di Tawau itu adalah kluster baharu di Mukim Balung yang berkait rapat dengan majlis hari jadi diadakan di rumah kes indeks, seorang lelaki warga emas berumur 60 tahun, dan dihadiri ahli keluarga pada 12 Jun lepas.

Jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 itu berkata, lelaki terbabit disahkan positif wabak berkenaan pada 16 Jun di Klinik Kesihatan Apas Balung setelah bergejala sejak 13 Jun.

”Susulan kes itu, saringan kontak pada 20 Jun mendapati sembilan individu dalam kalangan jemputan majlis terbabit dikesan positif.

"Setakat hari ini (Isnin), sembilan lagi kes positif direkodkan menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster sebanyak 19 kes,” katanya dalam kenyataan malam Isnin.

Sementara itu, Masidi berkata, seorang penyelia lelaki berumur 35 tahun telah mencetuskan kluster baharu melibatkan jangkitan dalam kalangan kakitangan pelantar minyak di Platform FPSO KIKEH tempatnya bekerja.

Masidi berkata, kes indeks bagi Kluster Samedra di Kota Kinabalu itu mula bergejala sejak 12 Jun sebelum disahkan positif hasil saringan pekerjaan pada tarikh sama di sebuah klinik swasta.

”Turut dikesan positif ialah 24 kontak dalam kalangan rakan sekerja kes indeks, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 25 kes. Aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan,” katanya.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata, 166 kes baharu direkodkan di Sabah pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di negeri ini 67,707 kes, dengan dua kematian dilaporkan di Tawau.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, 265 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah kumulatif kini 65,238 orang, manakala 1,586 pesakit masih menerima rawatan iaitu 468 orang di hospital; Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Awam (1,116 orang), serta Pusat Tahanan Sementara atau penjara (dua orang). - Bernama