Padah keluar tanpa kad pengenalan

A
A

KULIM - Empat lelaki keluar tanpa kad pengenalan ditahan polis di Padang Jalan Bestari 5, Taman Bestari di sini, malam tadi.

Kesemua mereka ditahan dalam Op Cantas diketuai Inspektor Wan Muhammad bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat daerah (IPD) Kulim jam 12.45 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, selepas memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa, empat lelaki itu diminta menunjukkan kad pengenalan masing-masing.

Bagaimanapun, kesemua lelaki berusia 16,19 dan 20 tahun itu gagal memberikan kad pengenalan dan hanya membuat akuan lisan.

"Mereka dibawa ke IPD Kulim dan ditangkap di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990 kerana tidak membawa bersama kad pengenalan," katanya

Beliau berkata, hasil soal siasat keempat-empat suspek mengaku hanya datang ke padang tersebut untuk minum minuman keras sambil mendengar lagu.

"Padang tersebut terletak di dalam kawasan rumah taman dan mengganggu kejiranan dengan bunyi bising.

"Operasi ini juga ialah usaha pencegahan IPD Kulim bagi membasmi masyarakat meminum minuman keras di tempat awam. Jika masih lagi gagal tindakan tegas akan diambil," katanya.