X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Pusat pemasaran hasil pertanian berteknologi tinggi bantu usahawan tani moden

Ahmad (kanan) melihat timun fertigasi ketika lawatannya di Port Dickson pada Isnin.
A
A

PORT DICKSON - Projek Pusat Pemasaran Hasil Pertanian Berteknologi Tinggi, Institut Latihan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dapat membantu usahawan dan petani mendapatkan maklumat berkaitan pertanian moden.

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan I (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, mereka juga boleh mendapat maklumat berkaitan aspek teknikal dan praktikal secara khusus.

Menurutnya, projek berkenaan boleh dijadikan sebagai model pertanian moden yang mengaplikasikan teknologi terkini seperti fertigasi gantung dan vertical farming.

"Projek ini di usahakan oleh peserta ladang kontrak MAFI di bawah bimbingan FAMA, Azhar Mohamad Buang yang menanam komoditi timun dengan kuantiti 'polybag' berjumlah 1,410 unit melalui kaedah penanaman fertigasi gantung," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Projek Pusat Pemasaran Hasil Pertanian Berteknologi Tinggi di Institut Latihan Fama Port Dickson pada Isnin.

Ahmad berkata, anggaran pengeluaran hasil boleh mencecah 11 metrik tan (MT) pada bulan ini selepas benih mula ditanam pada Mei lalu.

Justeru, katanya, kementeriannya juga menggalakkan usahawan tani merujuk agensi berkaitan seperti FAMA dan Jabatan Pertanian (DOA) bagi mendapatkan maklumat berkenaan tanaman sesuai mengikut permintaan pasaran bagi mengelakkan lebihan bekalan komoditi dan kerugian.

MAFI turut menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin kepada petugas barisan hadapan iaitu hasilan pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan ketika mengadakan lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Bandaraya Seremban.

Katanya, antara komoditi yang disumbangkan kali ini ialah labu manis, timun hijau, cili merah, pisang berangan, betik, nangka madu dan jambu batu.

Ahmad (tengah) menyampaikan sumbangan MAFI prihatin kepada petugas di PPV Seremban pada Isnin.
Ahmad (tengah) menyampaikan sumbangan MAFI prihatin kepada petugas di PPV Seremban pada Isnin.

"Sehingga kini, projek Sumbangan MAFI Prihatin melalui FAMA hampir 20.5 tan metrik hasil pertanian.

"MAFI mengambil pelbagai pendekatan khususnya memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan makanan termasuk isu lambakan, surat pergerakan dan pelaksanaan 43 Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara," katanya.

Di Negeri Sembilan sebanyak empat 'outlet' yang beroperasi ketika ini iaitu di Agrobazaar Sendayan, Pusat Operasi FAMA Seremban, Pasar Tani Kekal Jempol dan Pasar Tani Kekal Paroi.

Sehingga 19 Jun 2021, nilai jualan keseluruhan PST telah mencecah sehingga RM23.61 juta.

Selain itu, lebihan hasil pertanian melalui sumbangan MAFI Prihatin ini juga secara tidak langsung membantu petani yang mengalami masalah lebihan pengeluaran dan pemasaran ketika tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh selain dapat membantu mereka yang terkesan.

Bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh pelaksanaan PKP 1.0, FAMA telah mewujudkan Bilik Gerakan (Crisis Management Centre) yang beroperasi pada jam 8 pagi hingga 7 malam.

Sehingga 19 Jun 2021, FAMA telah mengeluarkan sebanyak 12,454 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan kepada usahawan tani.

Sektor pertanian formal (formal) melibatkan syarikat pengilangan, pengeluar produk atau industri makanan perlu terus mendapatkan kebenaran beroperasi melalui Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) di bawah seliaan MITI.

FAMA Negeri Sembilan juga telah mengeluarkan 320 surat pelepasan kepada pengusaha dan usahawan bagi menjalankan aktiviti pemasaran dan pengedaran hasil pertanian.

Bagi membantu petani yang mengelakkan masalah memasarkan hasil pertanian boleh melayari portal FAMA Feedback System http://ffs.fama.gov.my/aduan/index.php atau menghubungi talian hotline FAMA di 019- 7476754/ 013-3777100/ 010-7632684.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!