SPRM sita RM340,000 wang perjudian haram

Wang tunai yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis dipercayai hasil daripada kegiatan perjudian di bandar Tawau.
Wang tunai yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis dipercayai hasil daripada kegiatan perjudian di bandar Tawau.
A
A
A

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menyita wang bernilai RM300,000 membabitkan empat akaun dan merampas wang tunai RM40,000 dalam satu serbuan di sebuah premis bandar Tawau pada Isnin.

Wang dipercayai hasil daripada kegiatan perjudian haram itu dirampas kira-kira jam 11 pagi itu dan seramai tiga individu termasuk dua wanita berusia antara 23 hingga 57 tahun ditahan.

Menurut sumber SPRM, seorang lelaki berusia 42 tahun yang ditahan dipercayai sebagai ketua kumpulan yang giat menjalankan aktiviti perjudian haram di sekitar bandar Tawau.

"Suspek dipercayai membayar rasuah kepada beberapa anggota agensi penguatkuasa di sekitar Tawau bagi melindungi kegiatan perjudian haram yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu," kata sumber itu.

SPRM kemudian melaksanakan Perintah Pembekuaan Akaun di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) bagi wang milik suspek.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau turut memaklumkan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001.

"Permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Tawau bagi membantu siasatan dan beberapa siri tangkapan susulan akan dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan: