Lebih setengah juta kes sporadik dikesan

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih setengah juta kes sporadik dikesan di Malaysia bagi tempoh hampir enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Lembah Klang dan Sarawak melaporkan kes tertinggi.

Menurutnya, bagi tempoh 1 Januari sehingga 19 Jun, sebanyak 578,105 kes sporadik dikenalpasti di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 151,725 dilaporkan di Selangor manakala 44,517 kes di Kuala Lumpur dan 40,889 pula di Sarawak.

"Lembah Klang merupakan kawasan yang terdiri daripada Kuala Lumpur dan pinggir bandarnya serta meliputi kawasan bandar dan bandar raya di Selangor.

"Pada minggu epidemiologi ke-24, Lembah Klang mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi di Malaysia," katanya.

Tambah beliau, tiga daerah tertinggi melaporkan kes sporadik ialah Petaling (3,905), Hulu Langat (2,783) dan Klang (2,482).

Kes sporadik bermaksud kes membabitkan dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada tetapi dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti atau dari saringan kes bergejala.

Dr Noor Hisham memberitahu, lebih membimbangkan kebanyakan kes sporadik tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti individu sekeliling yang tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan betul.

Artikel Berkaitan:

"Kawasan Lembah Klang yang sememangnya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, bukan sahaja terdedah kepada bahaya banyak kes sporadik di dalam komuniti malah kebanyakan kes Covid-19 tidak mempunyai gejala.

"Sukar bagi kita untuk mengetahui siapa yang mempunyai Covid-19 dalam kalangan kita. Sangat penting bagi semua pihak mengambil serius penularan Covid-19 dan melindungi diri serta keluarga," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya kekal di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar dan patuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika perlu keluar.