X

Kindly register in order to view this article
!

Tak mungkin jalin hubungan Israel

Tindakan Israel yang melancarkan serangan terhadap Palestin dikutuk sekeras-kerasnya oleh Malaysia. - Foto Agensi
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak mungkin sedia menimbang menjalin hubungan rasmi dengan Israel selagi rejim itu tidak mengubah dasarnya serta mengiktiraf kemerdekaan Palestin, menurut seorang ahli akademik.

Pensyarah Sekolah Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Azizuddin Mohd Sani berkata, pendirian Malaysia mengenai isu Palestin-Israel sentiasa tegas dan jelas.

"Jika Israel mahu melihat perubahan dalam pendirian Malaysia, ia mesti membuktikan bahawa Israel menghormati dan mematuhi undang-undang antarabangsa berhubung kedaulatan Palestin serta berusaha menyelesaikan kemelut yang berpanjangan itu.

“Saya fikir Malaysia akan mengubah pendekatan dan mengiktiraf Israel andai Israel meninggalkan dasar aparteid ke atas Palestin dan rakyatnya. Kemudian kita boleh berbincang. Ketika ini, saya ragui ia boleh berlaku. Ia jelas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan berita antarabangsa menyatakan, Israel berminat untuk menjalin hubungan dengan Malaysia, Indonesia dan Brunei, meskipun ketiga-tiga negara mengutuk serangan rejim itu ke atas Semenanjung Gaza pada Mei lalu.

Azizuddin turut percaya, rejim itu berusaha mengubah imejnya di seluruh dunia terutama dalam kalangan negara Islam, selepas pencerobohan terbarunya ke atas Semenanjung Gaza pada Mei.

“Dasar Israel ketika ini adalah berusaha menjalin hubungan diplomatik dengan seberapa banyak negara Islam yang boleh. Ia mahu supaya banyak negara Islam menerima negara Israel itu.

“Bagaimanapun, banyak negara Islam termasuk Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel. Mungkin ini sebabnya mengapa mereka cuba menjalin hubungan dengan kita," katanya.

Pada 17 Jun, Reuters dalam temuramah dengan Duta Israel ke Singapura, Sagi Karni, melaporkan Israel berminat untuk menjalin hubungan dengan Malaysia, Indonesia dan Brunei, tiga negara yang didiami majoriti penduduk Islam di Asia Tenggara, meskipun ketiga-tiga negara ini mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk serangan rejim itu ke atas Semenanjung Gaza.

Karni dipetik sebagai perkara, kritikan daripada pemimpin tiga negara itu 'tidak jujur' dan mengetepikan ‘hakikat sebenar konflik' iaitu sengketa Israel dengan Hamas, bukan ke atas penduduk Palestin.

“Kami sedia berbincang, kami sedia bertemu dan apa yang saya tahu, pintu sentiasa terbuka. Saya tidak merasakan bahawa susah untuk mencari kami," katanya.

Ketika ini Israel mempunyai kedutaan di Vietnam, Thailand, Filipina dan Myanmar.

Tahun lalu, Israel menjalin hubungan rasmi dengan empat negara Arab - Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi menerusi perjanjian yang ditaja Amerika Syarikat. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!