150 tapak pembinaan diarah tutup sejak 1 Jun: KKR

Pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mendapati sebanyak 150 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP. - Foto FB CIDB
Pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mendapati sebanyak 150 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP. - Foto FB CIDB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 150 tapak pembinaan di seluruh negara diarah tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lepas kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan berkata, sejak PKP 3.0 dilaksanakan, sebanyak 2,423 tapak pembinaan telah diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dengan 446 atau 18 peratus tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 1,977 atau 82 peratus tidak beroperasi.

Menurutnya, daripada 446 tapak yang beroperasi, didapati sebanyak 150 tapak pembinaan (34 peratus) tidak mematuhi SOP, manakala 296 (66 peratus) tapak lagi mematuhi SOP.

“Kementerian amat memandang serius peratusan ketidakpatuhan SOP yang tinggi di tapak pembinaan kerana ia satu perkara yang amat membimbangkan dan akan menjejaskan objektif PKP penuh ini untuk mengekang penularan wabak Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu lagi, daripada 150 tapak pembinaan yang ditutup 45 terletak di Sarawak, Selangor (24), Melaka (16), Pulau Pinang (10), Terengganu (10), Sabah (9), Johor (7), Kuala Lumpur (6), Pahang (6), Perak (5), masing-masing empat di Kedah dan Negeri Sembilan, tiga di Perlis dan satu di Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, sebanyak 11 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup telah dibenarkan beroperasi semula selepas mereka mematuhi SOP ditetapkan.

Menurut kenyataan itu lagi, selain mengarahkan tapak pembinaan ditutup dengan serta-merta, CIDB juga boleh mengenakan penalti tidak melebihi RM500,000 atau menggantung dan membatalkan Perakuan Pendaftaran Kontraktor.

Semua penggiat industri pembinaan juga diwajibkan mematuhi arahan semasa dan SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan matlamat PKP 3.0 dapat dicapai.

Artikel Berkaitan:

“Sejak PKP 3.0 bermula, CIDB telah mempergiatkan pemeriksaan di tapak pembinaan, dalam usaha mengekang pandemik Covid-19 susulan peningkatan penularan kes positif Covid-19 di tapak pembinaan seluruh negara, khususnya di Lembah Klang,” menurut kenyataan itu. - Bernama