X

Kindly register in order to view this article
!

Remaja maut elak lembu melintas jalan

Keadaan kereta Proton Iswara Aeroback dipandu mangsa selepas melanggar sebatang pokok di Kilometer 17, Lebuh AMJ, Jasin pada Isnin.
A
A

JASIN - Hasrat seorang remaja lelaki untuk ke tempat kerja di pasar tidak kesampaian apabila kereta dipandunya terbabas ketika dipercayai mengelak seekor lembu di Kilometer 17, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Serkam di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa Muhammad Airulhakimi Shuib,17, yang memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipercayai dalam perjalanan menghala ke Serkam sebelum terbabas dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada dada.

Saksi kejadian, Mohd Zharif Mazlan, 37, berkata, sebelum kejadian, kereta dipandunya berada di belakang kereta mangsa.

Menurutnya, dia kemudian melihat seekor lembu yang berada di bahu jalan melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan mangsa cuba mengelak, namun terbabas dan melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan.

"Saya seterusnya bertindak memberhentikan kereta di bahu jalan untuk menghubungi talian kecemasan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan ketika dihubungi berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Sebatu, Sungai Rambai dan bekerja di pasar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!