X

Kindly register in order to view this article
!

Kelas bahasa Inggeris percuma buat pelajar B40 di DUN Manir

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 40 pelajar daripada kumpulan B40 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir bakal mengikuti kelas bahasa Inggeris secara percuma bermula bulan depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Manir, Mohd Shaheer Ibrahim berkata, Kem Bahasa Inggeris secara dalam talian itu diadakan selama 10 minggu membabitkan pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga.

“Penganjuran Kem Bahasa Inggeris ini sebahagian daripada usaha bagi memastikan pelajar di DUN Manir dapat meningkat keyakinan mereka menggunakan bahasa Inggeris terutama dalam pertuturan dan komunikasi dengan lebih baik.

“40 orang pelajar ini akan diberikan bimbingan secukupnya. Mereka akan mendapat sijil penyertaan dalam majlis graduasi yang akan diadakan selepas tamat kelas nanti,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Kem Bahasa Inggeris itu dianjurkan Pasukan ADUN Belia Manir dengan kerjasama guru 'Transformasi English In Terengganu' (Trenglish) kelolaan Yayasan Terengganu (YT).

Kem tersebut akan dikendalikan sepenuhnya oleh empat guru Bahasa Inggeris yang mempunyai enam tahun pengalaman mengajar di sekolah melalui program Trenglish.

Sementara itu, Mohd Shaheer berkata, pihaknya terpanggil untuk mengadakan program tersebut selepas mendapati pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan tidak mendapat pendidikan secukupnya disebabkan kekangan kewangan walaupun ada usaha serta peluang untuk berjaya.

“Jika anak-anak golongan pertengahan dan atasan boleh mendapat kelas tambahan kerana ekonomi keluarga yang kukuh, tetapi tidak bagi golongan B40 ini. Apatah lagi ramai hilang punca pendapatan dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Mereka hanya bergantung harap sepenuhnya kepada kelas-kelas di sekolah, dan ruang untuk mengulang kaji pelajaran di dalam kelas tambahan itu tiada. Kami harap kelas percuma ini memberi sinar harapan buat mereka,” katanya.

Beliau berkata, pendaftaran kini sudah dibuka dan mereka yang berminat menyertai kem itu boleh menghubungi talian 013-2115876 atau layari halaman Pusat Pendidikan Percuma Atas Talian DUN Manir.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!