Kesatuan pekerja bersama sokong pelan penjanaan semula LTSAAS

Lapangan Terbang Subang
Lapangan Terbang Subang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan-kesatuan pekerja Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyokong pembangunan lima tahun Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang sistematik dan menyeluruh.

Justeru, Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Bhd Semenanjung (Kesma); Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Bhd Sarawak (Kepemab) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Bhd Sabah & Labuan (Kepmas) berharap kerajaan membuat deklarasi terbuka bahawa pengambilalihan LTSAAS oleh WCT Holdings Bhd tidak akan berlaku.

Menurut kesatuan-kesatuan pekerja, tindakan kerajaan itu akan memastikan inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan untuk memperkasa lapangan terbang yang terletak di Subang, Selangor itu.

Presiden Kesma, Hussin Shahar berpendapat rancangan penjanaan semula LTSAAS adalah lebih baik berbanding cadangan pihak WCT Holdings.

“LTSAAS merupakan satu aset dan khazanah negara yang berkembang maju di samping merupakan nadi dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Ia juga memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Keselamatan negara (dikhuatiri) lebih terancam memandangkan anggota keselamatan yang akan menjaga LTSAAS ini adalah daripada pihak swasta,” katanya dalam sidang media secara maya pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada kerajaan untuk menggesa agar LTSAAS terus diselia oleh MAHB.

"Pihak kesatuan juga merancang bertemu Perdana Menterim, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menzahirkan bantahan pengambilalihan lapangan terbang tersebut, yang didakwa akan dilakukan WCT Holdings," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hussin berkata, tindakan tersebut dijangka boleh menyebabkan kerugian sebanyak RM11 bilion melibatkan pendapatan pekerja serta potensi kerugian pelaburan atau kerosakan yang mungkin ditanggung oleh MAHB jika pelan penjanaan semula LTSAAS tidak dapat dijalankan.

Menurut kenyataan MAHB pada Isnin, pihaknya telah menghantar pelan strategik dan komprehensif bagi pembangunan jangka panjang LTSAAS kepada kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pelan pembangunan semula itu akan mengembangkan ekosistem sebanyak tiga kali ganda, menggandakan jumlah pengendali global dan tempatan melebihi 100 untuk mewujudkan dan menyokong 19,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menerusi pelan itu juga, usaha meneraju peralihan Malaysia kepada teknologi tinggi turut akan dibantu, dipacu industri Revolusi Perindustrian Keempat dan negara berpendapatan tinggi dengan nilai unjuran lebih RM10 bilion kepada ekonomi negara.

“Ini seiring dengan teras strategi yang dikenal pasti dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerajaan dan akan mencapai aspirasi Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030,” katanya dalam kenyataan yang sama. - Bernama