Pahang catat 50 kes baharu positif Covid-19

Hanya satu kes jangkitan Covid-19 melepasi tahap empat membabitkan seorang petugas kesihatan yang telah mendapat suntikan lengkap vaksin Covid-19.- Foto Bernama
Hanya satu kes jangkitan Covid-19 melepasi tahap empat membabitkan seorang petugas kesihatan yang telah mendapat suntikan lengkap vaksin Covid-19.- Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Pahang mencatatkan penurunan kes baharu Covid-19 sebanyak 35 peratus apabila merekodkan sebanyak 50 kes pada Isnin berbanding 77 kes pada Ahad.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, sebanyak 45 kes baharu membabitkan warga tempatan manakala lima kes lagi melibatkan warga asing.

Menurutnya, susulan itu, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini telah mencecah sebanyak 12,080 kes.

“Semua kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan yang mana 25 kes diperolehi daripada saringan kluster, 20 saringan kontak rapat dan lima saringan bergejala.

"Lima daerah mencatatkan pertambahan kes dan Kuantan merupakan daerah mempunyai kes tertinggi iaitu sebanyak 23 kes, diikuti Temerloh (15), Maran (enam), Bera (empat) dan Cameron Highlands (dua),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menjelaskan, terdapat enam kluster di Kuantan, Temerloh dan Maran masih aktif mencatatkan pertambahan kes.

Katanya, Kluster Rantau Kenangan di Maran mencatatkan pertambahan tertinggi iaitu 15 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 207 kes.

“Di Kuantan pula membabitkan Kluster Industri Jalan 1/7 Gebeng dan Indera Mahkota 16, masing-masing mencatatkan rekod pertambahan yang sama iaitu tiga kes menjadikan jumlah positif 12 kes.

Artikel Berkaitan:

“Bagi Kluster Flora Blue Valley di Cameron Highland (pertambahan dua kes dengan jumlah keseluruhan 24 kes, Kluster Jaya Gading (pertambahan satu kes dengan jumlah keseluruhan 175 kes) dan Kluster Kampung Gau (pertambahan satu kes dengan jumlah keseluruhan 184 kes),” ujarnya.

Beliau berkata, sebanyak 407 kes positif Covid-19 sedang dirawat di lapan buah hospital di negeri ini manakala enam buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dibuka untuk membantu menampung jumlah pesakit.

“Sebanyak 23 kes berada dalam pengawasan di rumah, 20 kes Covid-19 positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan lapan kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.