Switzerland intai peluang lolos 16 terbaik

Shaqiri (kanan) meraikan gol kedua bersama rakan sepasukan ketika aksi kumpulan A Euro 2020 Switzerland menentang Turki di Stadium Olimpik Baku. Foto: AFP
Shaqiri (kanan) meraikan gol kedua bersama rakan sepasukan ketika aksi kumpulan A Euro 2020 Switzerland menentang Turki di Stadium Olimpik Baku. Foto: AFP
A
A
A

TONGGAK Switzerland, Xherdan Shaqiri mengakui bangga apabila menyumbat dua gol ketika kemenangan 3-1 ke atas Turki dalam aksi ketiga kumpulan A Euro 2020 di Stadium Baku, Azerbaijan pada awal pagi Isnin.

"Jaringan pertama saya dengan kaki kanan memang cukup baik. Saya cukup gembira dapat menjaringkan gol seumpama itu tetapi apa yang lebih penting kami dapat meraih kemenangan.

''Kami beraksi seperti satu unit dan ia amat penting untuk mengutip tiga mata. Kami sedar jika kami beraksi baik, kami akan mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Turki itu masih belum cukup buat Switzerland menempatkan diri dalam kedudukan dua pasukan terbaik Kumpulan A yang diisi Itali dan Wales.

Biarpun berkongsi empat mata dengan Wales yang berada di tangga kedua, Switzerland terpaksa akur berada di tangga ketiga apabila 'ketinggalan' dari segi jaringan.

Switzerland kini mencongak peluang mara ke pusingan 16 terbaik menerusi tiket pasukan tempat ketiga terbaik bagi menentukan nasib mereka pada kempen Euro 2020 kali ini.

Mengikut format pertandingan, juara dan naib juara setiap kumpulan layak secara automatik ke pusingan 16 terbaik manakala empat pasukan terbaik yang berada di tangga ketiga turut akan beraksi dalam saingan kalah mati itu nanti.

Artikel Berkaitan: