Penguatkuasaan kilang diselaraskan KDN: Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin bersetuju tanggungjawab penguatkuasaan termasuk serbuan oleh semua agensi terhadap kilang yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara diselaraskan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebelakangan ini kerajaan menerima banyak aduan melibatkan sektor perkilangan yang didakwa menyalahgunakan surat kebenaran menjalankan operasi melibatkan perkhidmatan bukan perlu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, terdapat kilang dikesan melanggar SOP apabila beroperasi melebihi kapasiti 60 peratus pekerja, malah ada antara mereka yang memakai gelang kuarantin tetap diarahkan datang bekerja.

"Justeru, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang yang melanggar SOP dengan melakukan pemeriksaan dan serbuan. Kilang-kilang yang dikenal pasti ini akan dikenakan kompaun termasuk arahan menutup premis serta-merta," katanya dalam kenyataan mengenai PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD) pada Isnin.

Pada 17 Jun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, majikan sektor perkilangan akan dikompaun terus tanpa amaran jika melanggar SOP PKP mulai 18 Jun.

Hamzah berkata, lebih 40 kilang di seluruh negara telah dikompaun sejak 1 Jun lepas kerana melanggar SOP PKP.

Sementara itu, mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri berkata, seramai 825 individu ditahan atas pelbagai kesalahan pada Ahad.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 810 dikompaun, manakala 15 direman.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan ialah tiada penjarakan fizikal, gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis, tidak memakai pelitup muka dan merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran selain makan di dalam premis menjual makanan. - Bernama